Gergasi Scotland, Celtic menerima tamparan hebat selepas gagal melayakkan diri ke saingan utama Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 apabila tunduk 2-1 (agregit 3-2) kepada AEK Athens dalam pusingan kelayakan ketiga awal pagi tadi.
Sebelum ini kedua-dua pasukan sekadar terikat 1-1 pada perlawanan pertama yang berlangsung di Celtic Park.
Tuan rumah di hadapan seawal minit keenam apabila Rodrigo Galo yang mendapat hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Celtic dengan mudah melepaskan percubaan leret yang terus menewaskan Craig Gordon.
Selepas jaringan tersebut dihasilkan, aksi serang menyerang dipamerkan anak buah Marinos Ouzounidis dan Brendan Rodgers dalam usaha merobek gawang lawan masing-masing.
Bagaimanapun usaha yang dilakukan menemui jalan buntu untuk keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Ketika aksi babak kedua baru sahaja berlangsung selama lima minit, Marko Livaja terus menceriakan penyokong tuan rumah dengan jaringan kedua buat AEK Athens.
Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma diambil Galo terus mencari Vassilios Lambropoulos yang menanduk bola kepada Livaja dan sekaligus ditanduk pemain dari Croatia itu bagi menggegar jaring gawang Celtic.
Celtic cuba bangkit melawan setelah pemain gantian, Scott Sinclair menanduk masuk bola pada minit ke-78 bagi menghidupkan peluang tetapi jaringan tersebut sekadar menjadi saguhati buat The Hoops.
Kegagalan Celtic melayakkan diri ke saingan utama Liga Juara-Juara Eropah itu hanya sedikit diubati apabila mereka masih layak bagi bersaing untuk ke Liga Europa.
Anak didik Rodgers akan berdepan sama ada wakil dari Lithuania atau Latvia manakala AEK Athens bakal menanti cabaran kelab Hungary, MOL Vidi pada kelayakan akhir Liga Juara-Juara Eropah.