Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe kini mempunyai pilihan sama ada hendak mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa atau tidak, lapor Stadium Astro.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam, terdapat beberapa pasukan Asia yang kini menyatakan keterbukaan untuk menentang Harimau Malaya.
Oleh itu, beliau menyerahkan segalanya kepada Cheng Hoe sendiri untuk membuat keputusan akhir.
“Bahrain dan Palestin telah menyatakan kemahuan mereka untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama-sama Malaysia. Sekarang ini terpulang kepada jurulatih untuk tentukan negara mana hendak dipilih sebagai lawan.”
Skuad negara kini cenderung untuk mendapatkan aksi perlawanan persahabatan bersama pasukan yang lebih kuat sebagai persiapan menjelang Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Dua perlawanan getir bakal dihadapi skuad negara dengan pertemuan bertemu Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam pada bulan Mac.
Tambah Stuart lagi, keputusan lawan manakah akan dipilih oleh Cheng Hoe akan ditentukan pada Januari 2020 dan akan diumumkan kemudian.
Pasukan negara kini menduduki tangga kedua Kumpulan G selepas mengutip 9 mata daripada lima perlawanan.