Bekas pemain import Kedah, Zac Anderson diumumkan sebagai pemain baharu skuad The Bos Gaurus musim depan selepas menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Pemain yang berusia 27 tahun itu beraksi dengan pasukan PKNS FC musim ini dan tahun depan merupakan musim yang ketiga beliau dalam saingan Liga Malaysia.
Pengurus pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata kemasukan bekas pemain pertahanan skuad bawah 23 tahun Australia itu bagi menguatkan benteng pertahanan skuad kendalian Mehmet Durakovic yang dilihat agak goyah.
Menurutnya, beliau menyifatkan kehadiran pemain baharu itu sebagai pilihan tepat untuk menambahbaik beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti selepas mengharungi saingan musim lalu.
“Pemain ini diikat mengikut keperluan pasukan bagi mengharungi musim ini. Zac memiliki pengalaman beraksi di sini dan dia turut memiliki kualiti kepimpinan di tengah padang selain kelebihan fizikal yang akan membantu pasukan.
“Saya dengan Ketua Jurulatih, Mehmed Durakovic dah sembang panjang lebar dengan Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu keperluan kita kuatkan pertahanan dan beliau bersetuju untuk ambik Zac,” katanya dalam satu kenyataan media.
SELAMAT DATANG ZAC ANDERSON
Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengalu-alukan kehadiran pemain pertahanan dari Australia, Zac Anderson untuk memperkuatkan lagi pasukan. Beliau hari ini secara rasminya menjadi sebahagian besar Keluarga Perak The Bos Gaurus!!! pic.twitter.com/mQ5bFRPFQ6
— Perak FC (@peraktbgmy) December 26, 2018
Perak nafi ikat Faris Ramli bagi mengisi slot pemain import ASEAN
Mengulas mengenai kekosongan satu lagi import pasukan itu, Adly Shah menjelaskan pihaknya enggan terburu-buru dan mahu mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti bagi mengisi slot import kelima.
“Kami kena tunggu dulu kerana bagi saya perkara ini kena buat dengan sebaik mungkin. Selepas itu barulah kami membuat keputusan.
“Berhubung dakwaan kata Perak nak ikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota import Asia Tenggara tidak berlaku, malah ada yang kata ramai pemain Perak akan berhijrah tidak benar sama sekali, begitu juga penjaga gol kita, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy saya sahkan akan kekal dalam pasukan,” katanya.