Sebentar tadi Ketua Jurulatih kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim, Ulisses Morais mengejutkan kancah saingan bola sepak Malaysia kerana melepaskan jawatan beliau bersama juara empat kali berturut-turut Liga Super Malaysia itu.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Morais melalui satu kenyataan yang dimuatnaik ke dalam akaun Facebook milik kelab tersebut.
Dalam kenyataan tersebut, Morais menyatakan bahawa keputusan tersebut adalah hasil keputusan beliau sendiri disebabkan masalah kesihatan keluarganya.
“Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan buat saya, tugasan saya berakhir di kelab terhebat ini. Segala hal dalam kehidupan perlu ada keutamaan. Di atas sebab-sebab kesihatan keluarga, saya terpaksa meninggalkan anda dan kelab ini.” ujar Morais dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan dengan itu, Morais mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di JDT di atas kerjasama sepanjang beliau bersama JDT.
Dalam kenyataan yang sama, ini mesej Morais kepada penyokong: “Kepada para penyokong, terima kasih diatas sokongan, ambil berat dan penghormatan yang sentiasa diberikan setiap hari. Perlawanan demi perlawanan telah menjadikan kami menjadi terbaik di dalam setiap perlawanan.”
Morais turut mengambil kesempatan tersebut untuk menyampaikan penghargaan kepada Encik Jay, Alistair Edwards dan Mr. Davids, yang merupakan nadi penting kelab bola sepak JDT.
Mengenai pemilik Kelab Bola Sepak JDT, Morais mempunyai pesanan yang istimewa untuk Baginda.
“Dan yang terakhir sekali, kepada nadi utama dan jantung utama kelab hebat ini, DYAM Tunku Mahkota Johor. Seorang lelaki muda yang tidak dapat dinafikan bakat, kepintaran dan kepimpinan yang dimiliki.”
“Dilahirkan sebagai juara. Saya berkongsi pendapat dengan baginda berjam-jam dalam satu hari, sama ada di rumahnya atau di kelab di mana baginda selalu melayan saya dengan penuh penghormatan, pendidikan dan persahabatan, memenuhi semua keperluan untuk berjaya sehingga saat terakhir saya di sini.”
“Baginda adalah seorang yang berwawasan. Apa yang difikirkan, tidak lama selepas itu ia akan berlaku. Dengan mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap penyokong dan masyarakat Johor, menjadikan baginda adalah yang terbaik.”
Secara keseluruhan, Ulisses Morais telah membimbing JDT selama sembilan bulan. Beliau mengambil peranan Ketua Jurulatih daripada Benjamin Mora, dan memperkenalkan sistem permainan 4-3-3 yang mengubah corak permainan pasukan berkenaan kepada tempo pantas dan berkesan.
Sepanjang bersama JDT, Morais telah membantu kelab berkenaan untuk menjuarai Liga Super Malaysia 2017, Piala Malaysia 2017, dan juga Piala Sumbangsih 2018.
Bagi pihak Semuanya BOLA, kami mengucapkan terima kasih kerana sudi hadir ke Liga Malaysia, dan selamat maju jaya buat Ulisses Morais.