Quantcast

BERITA

TERKINI: Mkhitaryan Hampiri Perpindahan Ke Roma Pada Hari Terakhir Perpindahan

Roma dilaporkan sedang aktif berbincang dengan Arsenal untuk mendapatkan pemain sayap, Henrikh Mkhitaryan secara pinjaman.

Walaupun jendela perpindahan di England sudah pun ditutup pada 8 Ogos lalu, kebanyakan liga utama di Eropah masih dibenarkan untuk aktif di jendela perpindahan pemain sehingga 2 September (hari ini).

Mkhitaryan menyertai Arsenal pada Januari 2018, sebagai sebahagian daripada pakej Manchester United mendapatkan Alexis Sanchez dari kelab London tersebut.

Sanchez sendiri sudah meninggalkan United selepas melalui musim yang mengecewakan, dan memilih untuk menyertai Inter Milan – juga secara pinjaman.

Sepanjang di Emirates, Mkhitaryan telah menjaringkan sembilan gol dalam 56 penampilan – termasuk aksi mengikat Tottenham Hotspur 2-2 pada malam tadi.

Roma sudah pun membawa masuk sembilan pemain pada jendela musim panas yang sibuk ini, termasuk membawa masuk secara pinjaman Davide Zappacosta dari Chelsea dan Chris Smalling dari Manchester United.