Quantcast

BERITA

TERKINI: Luqman Hakim Bakal Sertai Kelab Jupiler Pro League Belgium, KVK Kortrijk

Penyerang sensasi skuad Bawah-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin bakal menandatangani kontrak profesional bersama kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk selama lima tahun.

Kelab tersebut merupakan salah satu daripada kelab milik usahawan, Tan Sri Vincent Tan yang juga memiliki kelab Inggeris, Cardiff City.

Menurut sumber, Luqman akan berlatih bersama Cardiff City terlebih dahulu sehingga usianya genap 18 tahun pada Mac 2020, untuk sebelum dibenarkan menyertai kelab Belgium tersebut.

Pemain berusia 17 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu merupakan antara generasi pertama keluaran Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD).

Mulai mencipta nama sebagai penyerang utama pasukan Bawah-16 tahun negara di Kejohanan AFC B-16 di Bukit Jalil ketika di bawah kendalian Lim Teong Kim, Luqman terus menyerlah di kejohanan AFF B-18 bersama skuad kendalian Brad Maloney pada bulan lalu.

Walaupun pasukan negara sekadar muncul nain juara di pertandingan tersebut, potensi Luqman cukup menyerlah, termasuk ketika menjaringkan dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Australia 3-0 di peringkat kumpulan.

Timbul tanda tanya ke manakah hala tuju pemain-pemain seperti Luqman dan rakan-rakannya yang lain selepas tamat latihan di AMD.

Selangor dan JDT adalah antara kelab Liga Malaysia yang dikatakan menunjukkan minat untuk mendapatkan Luqman sebelum ini. Kelab J League, Cerezo Osaka turut dilaporkan mengintai khidmat pemain penyerang ini.

Butiran lanjut kontrak Luqman bersama KVK Kortrijk dijangka akan diumumkan pada hari ini.