Quantcast

BERITA

TERKINI: KAFA Lantik Semula Yusri Che Lah Sebagai Jurulatih Kelantan

Bekas pemain skuad kebangsaan, Yusri Che Lah kembali membimbing skuad The Red Warriors apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melantik semula bekas pengendali pasukan itu bagi menggantikan Marko Kraljevic yang ditamatkan kontrak.

Pengumuman itu dibuat melalui laman facebook rasmi Kelantan FA sebentar tadi. Menurut Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya membuat keputusan itu selepas melihat Yusri adalah calon paling layak untuk mengendalikan Kelantan selepas ketiadaan Kraljevic.

Beliau juga akrab dengan barisan pemain muda dan dilihat amat sesuai untuk mengembalikan pasukan ke landasan yang sebenar dalam beberapa perlawanan berbaki selepas ini.

“Selepas ketiadaan Kraljevic bersama pasukan baru-baru ini, saya meminta Yusri kembali mengendalikan pasukan bagi persiapan perlawanan seterusnya.

“Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu sudah menandatangani kontrak semalam dan memulakan tugas sebaik sahaja tamat menjalani kursus kejurulatihan Pro A di Kuala Lumpur.

“Saya berharap barisan pemain dapat bekerjasama dengan Yusri,” katanya dalam Berita Harian.

⚪🔴SELAMAT KEMBALI COACH YUSRI🔴⚪Persatuan Bolasepak Kelantan melantik Yusri Che Lah bagi mengendalikan pasukan Kelantan…

Posted by Kelantan FA on Sunday, April 14, 2019

Musim lalu, Yusri yang menggantikan Fajr Ibrahim berjaya membawa Kelantan ke suku akhir Piala Malaysia namun mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Kuala Lumpur pada awal musim ini.

Namun begitu, beliau meletakkan jawatan pada 10 Mac lalu selepas merasakan perlu bertanggungjawab di atas kegagalan pasukan Kuala Lumpur mencipta sebarang kemenangan dalam Liga Super.

Yusri mengambil keputusan itu selepas berbincang dengan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.

Beliau juga menafikan meletak jawatan kerana desakan oleh sesetengah pihak mahupun penyokong. Sebaliknya tindakan itu lebih kepada kerana keprihatinan beliau ke atas majikan.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!