Kelab bola sepak Johot Darul Ta’zim (JDT) terkejut dengan tuduhan tidak berasas oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa pihak mereka masih belum menjelaskan bayaran pampasan melibatkan perpindahan Akhyar Rashid pada 2018.
Perkara itu dinafikan oleh JDT melalui satu kenyataan oleh Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards sebentar tadi.
Dakwaan tiada asas
Kes perpindahan Akhyar Rashid dari Kedah ke JDT pada 2018 menjadi kontroversi dan mendapat liputan meluas media tempatan pada ketika itu kerana dikatakan tidak mengikut kaedah yang sepatutnya.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terkejut dengan tuduhan tidak berasas oleh presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai JDT tidak menjelaskan bayaran selepas menandatangani seorang pemain,” kata Alistair dalam kenyataan tersebut.
“Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar Rashid selepas pemain itu menamatkan kontrak beliau dengan Kedah.
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) are surprised by the baseless allegations by Kedah FA president Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor that JDT have not settled fees due for a signing a player.
[1/5] pic.twitter.com/baikCYON3d
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) November 19, 2021
“JDT bersetuju untuk membayar lebih dan telah mengeluarkan sekeping cek kepada Kedah sebanyak RM100,000 pada 31 Disember 2018. Cek ini bagaimanapun telah dipulangkan oleh Kedah kerana mereka mahu membuat rayuan berkenaan perkara ini.
“Mahkamah Timbang Tara kemudiannya telah membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM.
“Tidak ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT. Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas.”
Sanusi ungkit kisah lama
Isu perpindahan Akhyar dari Kedah ke JDT mulai menjadi sebutan selepas Sanusi mendakwa JDT masih belum menjelaskan pampasan untuk mendapatkan pemain itu walaupun berstatus kelab kaya di negara ini, melalui satu sidang media di Alor Setar semalam.
Menurut Sanusi beliau kecewa keadaan itu berlaku walaupun kelab dari selatan tanah air itu sepatutnya sudah menjelaskan bayaran sepatutnya setelah diarahkan berbuat demikian oleh badan berwajib.
“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan mereka (JDT) perlu membayar kepada Kedah, kata Sanusi dalam satu sidang media di Alor Setar pada hari ini. Kata kaya sangat, awat [kenapa] tak bayaq [bayar]?” Kata Sanusi semalam.
JDT Belum Bayar Kedah Yuran Perpindahan Akhyar – “Budak Tu Dah ‘Pengkaq’ Duduk Bench”https://t.co/s8gL2zEQMl
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 18, 2021
Selain itu Sanusi turut mendakwa tindakan JDT ‘memborong’ pemain muda seperti Akhyar dan sekadar meletakkan pemain itu di pemain simpanan hanya akan merosakkan bakat muda tempatan.
“Jika mereka meletak budak itu di bangku simpanan terlalu lama, dia akan menjadi ‘pengkaq’ (berprestasi buruk). Ini adalah budaya pengurusan yang tidak baik dalam industri bola sepak kita,” kata Sanusi seperti yang dipetik daripada Berita Harian.
“Mereka membeli pemain cemerlang dari pasukan miskin dengan tawaran lumayan hanya untuk mengekalkan pemain di bangku simpanan, jadi budak-budak itu akhirnya menjadi ‘pengkaq’.”
Kenyataan oleh Sanusi itu dilakukan selepas ‘situasi panas’ berbalas kata-kata antara beliau sebagai Presiden KFA dan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ismail, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sejak seminggu yang lalu.