Manchester United akhirnya memasuki perlumbaan bagi menyaingi Manchester City dalam usaha mendapatkan Cristiano Ronaldo dari Juventus selepas Massimiliano Allegri mengesahkan bintang Portugal itu mahu meninggalkan Itali.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dalam kenyataannya mengalu-alukan kepulangan legenda kelab itu ke Old Trafford dan pihak pengurusan kelab dipercayai telah mula berhubung dengan ejen Jorge Mendes bagi membincangkan perincian kontrak.
Ronaldo menyertai United dari Sporting Lisbon sebagai pemain remaja yang tidak dikenali dan meluangkan kariernya selama enam musim di kelab Liga Perdana Inggeris tersebut sebelum berhijrah ke Real Madrid dengan rekod perpindahan dunia bernilai £80 juta pada 2009.
Selepas khabar angin mengenai penghijrahan pemain berusia 36 tahun itu ke City bertiup kencang, ia membuatkan semua pihak tidak kira pengurusan kelab, pemain, bekas pemain serta penyokong tidak senang duduk untuk melihat pemain kesayangan mereka itu menyarung jersi musuh setempat.
Berdasarkan laporan dari pakar perpindahan, Fabrizio Romano, sehingga kini City masih belum membuat bidaan rasmi dan kemungkinan besar sudah pun terkeluar dari perlumbaan.
United kini dikatakan sudah pun menyediakan kontrak rasmi untuk memastikan Ronaldo kembali ke ‘rumah’ mereka.