Susulan kekalahan kepada Dinamo Zagreb dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, Chelsea nampaknya mengambil tindakan drastik dengan memecat ketua jurulatihnya Thomas Tuchel dengan serta merta.
Pengumuman tersebut dibuat oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kenyataan rasmi yang disiarkan di akaun media sosialnya.
“Mewakili semua pihak di Chelsea, pihak kelab ingin merakamkan penghargaan kepada Thomas dan semua staf kejurulatihannya atas segala usaha mereka sepanjang bersama kelab ini,” ujar kenyataan tersebut.
“Thomas telah pun mendapat tempat dalam sejarah Chelsea selepas membawa pasukan ini memenangi Liga Juara-Juara Eropah, Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia semasa tempohnya di sini.
“Memandangkan era pengurusan pemilik baharu telah pun memasuki 100 hari sejak pengambilalihan kelab dan mahu meneruskan usaha untuk membawa kelab ini lebih maju ke hadapan, pemilik baharu percaya ini adalah masa yang sesuai untuk melakukan perubahan.
“Barisan kejurulatihan Chelsea akan mengambil tanggungjawab menguruskan pasukan untuk latihan dan persediaan perlawanan akan datang sementara pihak kelab sedaya upaya mempercepatkan pelantikan ketua jurulatih yang baharu.”