Quantcast

LIGA MALAYSIA

‘Terima Kasih Untuk Segalanya Larkin’

JDT semalam telah beraksi perlawanan terakhir mereka di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin. Jika mengikut perancangan – dan tiada aral melintang – JDT akan bermain di stadium baharu mereka yang serba canggih.

Stadium baharu tersebut terletak di Iskandar Puteri.

Selain daripada stadium baharu, di situ juga terletak kompleks bola sepak JDT yang turut menempatkan pejabat pentadbiran mereka.

TMJ mengucapkan selamat tinggal kepada Larkin. Venue yang memberikan banyak kenangan kepada baginda dan penyokong JDT.

Dalam kapsyen ringkas TMJ, baginda berkata:”Terima kasih di atas segalanya Larkin. Terima kasih di atas semua kenangan.”

TMJ dan putera ciliknya duduk di tengah-tengah padang Larkin, selepas 1 ‘show’ terakhir mereka semalam, di mana JDT menang 2-1 ke atas Selangor dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019.

TMJ memulakan revolusi Johor FC yang dijenamakan semula kepada Johor Darul Ta’zim.

Larkin merupakan gelanggang keramat untuk JDT. Gelanggang yang menyaksikan JDT mencipta rekod tanpa kalah terpanjang di tempat sendiri. Di mana sejak 2013, mereka hanya kalah sekali di Larkin dalam saingan Liga Super, iaitu tewas tipis 0-1 di tangan PJ City pada 19 Julai 2019.

Di Larkin jugalah JDT membawa bola sepak ACL pertama ke Malaysia dengan kejayaan mereka layak ke ACL pada musim 2019.

Bukan itu sahaja, malah Larkin juga pernah dikunjungi oleh Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan dengan JDT.

Ramai lagi legenda yang pernah beraksi di Larkin pada era JDT, untuk perlawanan amal dan sebagainya.

Stadium Larkin antara simbol penting kepada revolusi JDT. Stadium yang diberikan nafas baru dengan peningkatan mutu padang dan sebagainya.

Selain itu, JDT juga menikmati era kegemilangan menjulang 6 kejuaraan MSL berturut-turut termasuk musim terakhir mereka bermain di Larkin. Tidak lupa, mereka juga pernah membawa pula Piala AFC 2015 ketika beraksi di stadium keramat ini.

Semalam, Boys Of Straits turut menaikkan tifo penghargaan kepada Stadium Larkin dengan tertulis: “Selamanya di hati kami.”

Kempen domestik JDT akan diteruskan selepas ini, dalam aksi kedua Piala Malaysia di Shah Alam. JDT berharap dapat menutup musim ini dengan Piala Malaysia, selepas kejayaan menjulang Liga Super.