Penyokong bola sepak negara ternyata telah menyahut seruan yang dilaungkan oleh ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee sebelum ini.
Hal ini dibuktikan apabila mereka telah membanjiri hampir segenap pelusuk Stadium Shah Alam malam tadi bagi memberikan sokongan buat pasukan negara yang berjaya menumbangkan Singapura hasil jaringan Muhd Nor Azam Bin Abdul Azih dan N.Thanabalan.
Sebelum kejohanan berlangsung, Datuk Ong Kim Swee menyeru supaya penyokong bola sepak negara dan Ultras Malaya terutamanya untuk memberikan sokongan buat anak buahnya beraksi di Stadium Shah Alam.
Kehadiran penyokong yang dianggarkan hampir 50,000 orang pada perlawanan semalam tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi tonik tambahan buat para pemain muda negara dalam mencapai kemenangan walaupun ketinggalan satu jaringan pada babak pertama.
Ketika Adib Zainudin dan rakan sepasukannya berhempas pulas di padang, komrad Ultras Malaya dan penyokong lain yang hadir juga tidak putus-putus memberikan sorakan gegak gempita bagi memberikan semangat buat para pemain negara yang beraksi untuk memperoleh jaringan.
Peningkatan mendadak kehadiran penyokong berbanding aksi pertama menentang Brunei juga wajar diberikan pujian. Kehadiran ini (menentang Singapura) adalah sangat luar biasa kerana perlawanan berlangsung ketika hari bekerja.
Difahamkan juga terdapat komrad Ultras Malaya yang hadir ke Stadium Shah Alam malam tadi datang dari seluruh negara. Pengorbanan mereka yang datang dari jauh dibayar dengan kemenangan skuad negara.
Gelagat penyokong istimewa yang mesra dengan panggilan ‘Medan’ mengetuai para penyokong melakukan ‘mexican wave’ juga turut mencuri tumpuan pada perlawanan ini.
Aksi seterusnya skuad negara akan bertemu Myanmar pada Isnin ini. Satu perlawanan yang bukan sahaja menarik untuk ditonton kerana kedua-dua pasukan bersaing hebat untuk menduduki tangga teratas kumpulan A bahkan ianya bakal menyaksikan kebanjiran penyokong Myanmar di Stadium Shah Alam nanti.
Kesimpulan
Para penyokong sudah menjalankan kerja mereka dengan memenuhi stadium dan memberikan sokongan serta sorakan buat pemain, kini terpulang kepada Datuk Ong Kim Swee dan anak buahnya bagi memacu kejayaan yang lebih gemilang dalam temasya serantau ini.
Buat para penyokong, jangan biarkan lautan peminat Myanmar menguasai laman kita sendiri pada Isnin ini. Sorakan Ultras Malaya dan setiap penyokong terus ditagih pada setiap perlawanan yang melibatkan skuad negara.
Sorakan para penyokong sebaik sahaja tamat perlawanan.
Kredit foto : Khairil A Jaafar & Hadi Nor