‘Terima Kasih FIFA’ – Pusat Latihan Kebangsaan Fasa 1 Dijangka Siap Disember 2026

Impian untuk melihat skuad kebangsaan memiliki pusat latihan sendiri akhirnya bakal menjelma, apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyatakan ia dijangka siap pada Disember 2026.

Ianya diumumkan sendiri menerusi kenyataan FAM dengan majlis pecah tanah di Presint 5, Putrajaya telah pun dilangsungkan hari ini bersama kehadiran beberapa individu berkepentingan lain.

“Majlis pecah tanah bagi pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, hari ini sambil disaksikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

“Terletak berhampiran dengan Taman Ekuestrian Putrajaya, NTC bakal dibina di atas tapak seluas 5.2 hektar (12.85 ekar) dengan Fasa 1 projek tersebut menggunakan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$5.2 juta iaitu bersamaan kira-kira RM24 juta manakala Fasa 2 pula menggunakan peruntukan sejumlah RM45 juta daripada Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” jelas kenyataan tersebut.

Menurut Hamidin, projek tersebut merupakan cetusan ilham daripada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari tahun 1984 hingga 2014.

“Ketika Almarhum Tuanku menggalas tugas sebagai Presiden FAM, baginda berhasrat mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak di rantau Asia.

“Selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan projek NTC ini ialah Tan Sri Dato’ Seri Dr. Aseh Haji Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

“Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya.

“Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek NTC ini satu kenyataan.

“Sebaik diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden FAM pada 14 Julai 2018, saya telah meletakkan agenda membangunkan projek NTC ini sebagai antara sasaran utama bagi memenuhi tuntutan dan evolusi bola sepak moden masa kini,” kata beliau.

Menurut laporan, Fasa 1 ini bakal dilaksanakan oleh syarikat tempatan iaitu RS Green Master (M) Sdn. Bhd dengan bermula sejak pertengahan tahun 2024 untuk membabitkan pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu padang rumput asli (jenis bermuda), padang rumput hybrid dan padang rumput tiruan (artificial) yang dilengkapi lampu limpah sepenuhnya serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi 6 meter di sekeliling kawasan padang serta dijangka siap pada Disember 2026.

“Fasa 2 pula adalah peruntukan daripada KBS dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 dengan ia membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi yang merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan (artificial) yang dibina pada Fasa 1.

“Kedua-dua Fasa 1 dan 2 ini akan berjalan dalam waktu yang sama yang mana Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027, sekali gus melengkapkan semua infrastruktur yang terdapat di NTC,” ulas kenyataan itu lagi.

Akhir sekali, Hamidin turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden FIFA iaitu Gianni Infantino atas sokongan serta dana telah diberikan buat pembangunan ini.

“Terima kasih sekali lagi kepada FIFA, terutama presidennya, Gianni Infantino atas sokongan penuh dan dana yang diberikan serta kepada Kerajaan Malaysia atas segala bantuan dan peruntukan yang diberikan kepada FAM.

“Saya berharap apabila siap dan terbina sepenuhnya NTC ini nanti, ia akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad B-23 kebangsaan.

“Saya juga berharap apabila ibu pejabat baharu FAM yang turut dibina di Putrajaya ini siap, ia akan dapat membangunkan modal insan yang mahir dari segi pengurusan, teknikal, kepengadilan dan kejurulatihan.

“Insya-Allah dalam masa beberapa tahun lagi, kita dapat melihat mercu tanda baharu bola sepak Malaysia di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya,” ucap Hamidin akhir sekali.

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN