“Terima Kasih Buat Penyokong Malaysia” – Pan-gon Anggap Sokongan Peminat Bantu Kemenangan Negara

Kejutan pertama yang dilakar skuad kebangsaan ketika mengatasi Turkmenistan semalam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nyata mendapat sorakan gemuruh daripada para penyokong Harimau Malaya.

Gemaan suara yang bermula sejak awal perlawanan nyata memberi suntikan motivasi terbaik buat para pemain untuk hadir dengan corak permainan lebih menyakinkan bagi mengatasi lawan sepanjang permainan berlangsung.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh pengendali skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon apabila beliau nyata memberi pujian kepada para penyokong Harimau Malaya sehingga menjadi salah satu faktor kemenangan semalam.

Menurut Pan-gon hasil sorakan padu para penyokong sejak perlawanan bermula hingga ke detik wisel penamat berjaya menaikkan moral beliau bersama para pemain untuk memberikan yang terbaik dalam permainan.

Dalam masa sama, Pan-gon turut melahirkan rasa gembira apabila pasukan kendaliannya beraksi dengan sangat cemerlang sehingga mampu untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan pertama biarpun Turkmenistan pada awalnya dilihat sebagai sebuah pasukan pilihan.

“Malam ini (malam tadi) terima kasih banyak-banyak kepada peminat bola sepak Malaysia dan Ultras Malaya, mereka memberikan sokongan penuh kepada kami dan saya juga amat berbangga dengan semua pemain Harimau Malaya. Saya rasa mereka berusaha memberikan peminat sedikit kebanggaan dan kegembiraan.

“Saya rasa ini adalah antara malam terbaik untuk kita dan kita telah melakukan tugas dengan baik dan saya dapat melihat semua orang gembira, saya juga sangat gembira malam ini,” katanya pada sidang media menerusi Bernama selepas perlawanan di Stadium Nasional, semalam.

Untuk rekod kehadiran para penyokong semalam, lebih 21,000 penonton berjaya memenuhi SNBJ demi memberi sokongan padu buat pasukan kebangsaan demi melayakkan diri secara merit ke Piala Asia tahun hadapan.

Kali terakhir skuad negara beraksi secara kompetitif di stadium tersebut adalah pada bulan November 2019 sebelum dunia dilanda wabak Covid-19.

Pada perlawanan semalam, Malaysia nyata menguasai perlawanan di sebalik sorakan padu para penyokong untuk mendapatkan gol pertama menerusi Safawi Rasid pada minit ke-11 sebelum Faisal Halim menambahkan lagi suasana gamat di stadium dengan gol kedua lima minit kemudian.

Turkmenistan berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-38 menerusi pemain serangan mereka iaitu Altymyrat Annadurdyyev sebelum Corbin Ong terus menambah luka buat pasukan tersebut dengan gol ketiga di masa kecederaan separuh masa pertama.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kini berkongsi tiga mata bersama Bahrain untuk berada di kedudukan pertama Kumpulan E sambil Bangladesh dan Turkmenistan gagal untuk meraih sebarang mata pada perlawanan pertama.

Selain itu, Yazguly Hojageldiyev selaku pengendali utama Turkmenistan menyatakan punca kekalahan tersebut disebabkan persiapan yang kurang selain mengakui kekuatan Malaysia di setiap posisi gagal diatasi mereka.

“Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan ini, kami mempunyai masa yang singkat untuk berlatih dan kami dapat lihat Malaysia datang dalam keadaan bersedia, tiada apa yang boleh dikatakan selain Malaysia bagus hari ini. Ia belum berakhir, kami mempunyai dua perlawanan lagi. Masih ada peluang,” katanya.

Untuk perlawanan seterusnya, Malaysia bakal berdepan lawan lebih kuat iaitu Bahrain pada Sabtu ini sebelum mengakhiri aksi kelayakan tersebut untuk bertemu Bangladesh di SNBJ.

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN