Quantcast

BERITA

Tergempar, Semakin Ramai Pemain Memohon Penamatan Kontrak Dengan Sporting Lisbon

4 lagi pemain telah pun menamatkan kontrak mereka dengan kelab bermasalah, Sporting Lisbon. Mereka adalah nama-nama besar iaitu William Carvalho, Gelson Martins, Bruno Fernandes dan Bas Dost.

Sebelum ini 2 pemain telah berjaya mendapatkan penamatan kontrak daripada kelab tersebut iaitu, Rui Patricio dan Daniel Podence. Jurulatih mereka Jorge Jesus sudah pun menyertai Al Hilal.

Penamatan kontrak ini dilakukan pemain dengan menggunakan alasan keselamatan. Mereka menganggap kelab tidak menghormati kontrak para pemain.

Segalanya bermula selepas insiden serangan ultras di pusat latihan. Kira-kira 50 penyokong samseng ini telah menyerang pemain dan staf di pusat latihan.

Mereka menyebabkan banyak kerosakan pada fasiliti dan di bilik persalinan. 20 saspek ditahan oleh pihak polis selepas itu. Paling mengecewakan apabila salah seorang pemain terbaik mereka, Bas Dost cedera di kepala kerana serangan itu.

Konflik di Sporting Lisbon ini lebih kerana sikap penyokong dan Presiden kelab. Penyokong mereka memang mulut lancang dan kerap menggunakan media sosial menyerang pemain mereka sendiri.

Hal ini diburukkan lagi apabila pada April, Presiden kelab Bruno De Carvalho telah mengkritik pemain-pemain mereka di media sosial selepas kekalahan di tangan Atletico.

Para pemain kecewa dengan kenyataan dan kutukan oleh Carvalho dan membuat kenyataan mempertahankan diri. Mereka menyatakan mereka sentiasa komited 100% untuk pasukan.

Para pemain turut membidas Presiden kelab yang terlalu bermulut lancang, sepatutnya beliau menunjukkan sikap kempimpinan lebih baik.

Kenyataan Presiden kelab telah memarakkan lagi api kemarahan penyokong yang mengambil langkah menyerang pemain di pusat latihan.

Para pemain kemudian menuduh Presiden kelab sebagai pro kepada penyokong ultras yang radikal ini. Hal ini dinafikan oleh beliau.

Rui Patricio, Gelson Martins dan Bruno Fernandes kini bersama-sama dengan pasukan kebangsaan Portugal untuk menghadapi Piala Dunia 2018.

Sebagai tambahan, ramai pemain dalam pasukan ini menjadi perhatian kelab elit Eropah. Gelson Martins antara pemain dalam sasaran Arsenal dan Spurs.

Manakala Bruno Fernandes juga dikaitkan dengan banyak pasukan Eropah lain termasuk Liverpool.

Begitu juga dengan Bas Dost dan William Carvalho yang turut dikaitkan dengan pasukan seperti Newcastle dan Everton. West Ham antara pasukan yang dikaitkan dengan Rui Patricio sebelum ini.

Kesemua pemain ini akan menjadi ejen bebas selepas ini. Menurut harga pasaran semasa, dengan mudah dijual dengan nilai £120 juta untuk para pemain yang menamatkan kontrak mereka.

Namun nilai ini sebenarnya jauh lebih rendah dengan mengambil kira klausa perlepasan pada Bruno Fernandes.

Beberapa bulan lalu dikatakan Liverpool melakukan inkuiri kepada Bruno Fernandes. Liverpool terpaksa melupakan hasrat mendapatkan pemain itu yang disahkan ada klausa perlepasan £87 juta.

Berita ini pastinya akan menjadi berita hangat bagi kelab-kelab di Eropah. Inilah padahnya apabila api amarah membakar diri dan hilang pertimbangan.

Pengajaran kepada Presiden kelab yang sebelum ini dikenali dengan sikapnya yang suka cakap lepas. Beliau sepatutnya menjadi orang tengah bukannya cuba menjadi hero di mata satu pihak dan mengiyakan ultras yang mengutuk para pemain.