Terengganu Teruskan Tekanan, MISC-MIFA Dalam Kelemasan.

Terengganu

Meskipun bermain berlatarkan pemandangan gunung ganang yang begitu menarik di Stadium Proton Tanjung Malim, ianya tidak cukup untuk membantu pasukan MISC-MIFA dalam usaha untuk mendapatkan 3 mata penuh berdepan pasukan di tangga kedua liga, Terengganu FA setelah mencatatkan kekalahan 1-2 petang tadi.

Berada di kedudukan kedua terakhir liga, perlawanan kali ini merupakan perlawanan yang sangat penting bagi MIFA untuk mencatat kemenangan bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam kancah liga perdana.

Namun menentang pasukan Terengganu yang sedang “on form”, berada di tangga kedua liga dan dalam laluan yang baik untuk melayakkan diri ke liga super musim hadapan bukanlah sesuatu yang mudah dan juga MIFA terpaksa turun tanpa dua tongggak utama mereka akibat penggantungan dan juga kecederaan.

Terengganu pula bebas daripada sebarang penggantungan dan menurunkan kesebelasan utama mereka dalam misi bagi mendapatkan 3 mata penuh untuk memberikan tekanan berterusan kepada pendahulu liga iaitu Kuala Lumpur.

Perlawanan bermula dengan MIFA terlebih dahulu melakukan percubaan ke arah gawang gol Terengganu seawal minit ke-3 permainan melalui pemain sayap mereka, Thinaadkharan Muthiah namun berjaya ditepis penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman.

Namun percubaan itu tidak terhenti disitu apabila tepisan bola itu sampai kepada pemain import MIFA, Luiz Eduardo Purcini yang lebih mesra disapa dengan panggilan Dudu dan beliau melepaskan sepakan padu namun dihalang barisan pertahanan Terengganu.

Selang 4 minit, giliran Terengganu pula mengetuk pintu gol MIFA melalui percubaan daripada Ferris Danial tetapi terkena pemain MIFA dan ianya sedikit tersasar.

Tidak lama selepas itu, Dudu sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang beliau untuk melorongkan bola kepada Kpah Sherman namun gagal disambut baik penyerang tersebut.

Pada minit ke-12, Terengganu berjaya melakukan percubaan namun gagal menembusi gawang MIFA yang dikawal dengan baik Ezad Ariff Jamaluddin.

Kedua-dua pasukan buntu untuk mendapatkan gol meskipun banyak peluang berjaya dihasilkan namun gagal disudahkan dan perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Masuk babak kedua perlawanan, pasukan Terengganu nampak lebih kemas dalam melakukan hantaran dan berjaya mengawal permainan. Hasilnya pada minit ke-56 Terengganu berjaya membuka jaringan hasil tindakan bijak penyerang import mereka Tchetche Hermann Kipre menewaskan barisan pertahanan MIFA sekaligus melepaskan rembatan leret ke arah kanan bawah pintu gol menewaskan Ezad Ariff.

Tersentak dengan gol tersebut, MIFA cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan penyamaan namun gagal menembusi barisan benteng Terengganu yang diketuai kemas ketua pasukan mereka Lazaro Alves.

Sebaliknya, MIFA sekali lagi dibolosi kali ini melalui pemain sensasi mereka Issey Nakajima pada minit ke-77.

Perlawanan menjadi kecoh seketika apabila berlaku aksi tolak menolak diantara pemain gantian MIFA Bodric Dimitri Fogueing dan juga Issey Nakajima dengan Dimitri mendakwa Issey cuba mencederakan beliau dengan sengaja namun berjaya ditenangkan oleh pengadil perlawanan.

Kekecohan sekali lagi tercetus kali ini di bahagian penyokong MIFA dan laungan “REFEREE KAYU” dilaungkan.

Ianya bermula apabila berlaku pelanggaran yang membabitkan penjaga gol Terengganu dan mengakibatkan sedikit pendarahan berlaku kepadanya. Insiden ini menyebabkan baju penjaga gol tersebut terpaksa ditukar akibat terkena palitan darah.

Yang menjadi keluarnya laungan “REFEREE KAYU” dilaungkan adalah apabila Terengganu tiada jersi simpanan buat penjaga gol tersebut dan terpaksa menggunakan jersi yang tidak mempunyai nombor serta nama dibelakang dan mempunyai warna yang hampir sama dengan pengadil ketika itu.

Penyokong MIFA merasakan ianya merupakan keputusan yang kurang bijak oleh pengadil kerana membenarkan penjaga gol untuk meneruskan permainan dengan memakai jersi tersebut.

Selang dua minit selepas itu, Kpah Sherman berjaya mendapatkan gol pertama MIFA selepas hantaran tinggi daripada Thinaadkharan berjaya ditanduk masuk.

Minit ke-89 sekali lagi perlawanan menjadi panas apabila Thinaadkharan menolak Firdaus Faudzi dan akibatnya Thinaadkharan dilayangkan kad kuning.

Pengadil memberikan 5 minit masa tambahan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan dan berkesudahan dengan keputusan 1-2 berpihak kepada Terengganu.

Keputusan ini menyaksikan Terengganu mempunyai peluang yang cerah untuk melayakkan diri ke Liga Super musim hadapan sementara itu MIFA masih lagi bergelut dalam zon penyingkiran.

Kredit foto: Terengganu FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN