Terengganu dilaporkan tidak bimbang untuk aksi hari ini bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) walau ketiadaan dua pemain tonggak mereka iaitu Safawi Rasid serta Akhyar Rashid kerana status pinjaman.
Keyakinan itu diluahkan sendiri melalui pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner yang menyatakan beliau sudah pun memiliki pemain pengganti untuk aksi tersebut.
Tampil dengan rekod cukup menyakinkan musim ini, jelas Terengganu berada pada momentum terbaik untuk memberi cabaran besar buat JDT di persaingan Liga Super.
Malah, mereka juga masih belum mencipta sebarang kekalahan daripada lapan perlawanan peringkat domestik dihadapi pada musim ini bersama corak permainan cukup menyakinkan.
Mengimbas pada tiga perlawanan terakhir dihadapi Sang Penyu, Steinbruckner berjaya memastikan pasukan tersebut cemerlang meraih semua kemenangan termasuk ketika menewaskan Selangor.
Berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, pastinya ia menjadi suatu cabaran besar buat Steinbruckner untuk memastikan momentum positif Terengganu dapat diteruskan.
Tanpa kelibat dua pemain Harimau Malaya tersebut, pastinya sedikit sebanyak mampu untuk mempengaruhi percaturan permainan Terengganu pada aksi ini di posisi serangan.
“Saya tidak begitu bimbang tanpa dua pemain itu (Safawi, Akhyar) kerana kami mempunyai beberapa lagi pemain mampu mengisi kekosongan ditinggalkan mereka.
“Berkemungkinan besar saya akan menyenaraikan penyerang muda, Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob dan pemain sayap, Nor Hakim Hassan.
“Saya harap pemain diturunkan nanti mampu menyajikan aksi terbaik dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata kerana sedar kekuatan pasukan lawan.
“Pada masa sama saya juga harapkan mereka mampu mengekalkan kekuatan mental dan fizikal serta berani beraksi mengikut perancangan kami,” kata Steinbruckner menerusi laporan Harian Metro.
Setakat ini, kami lihat Terengganu memiliki sekurangnya tiga pemain pengganti untuk mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Safawi dan Akhyar pada aksi yang bakal berlangsung hari ini.
Tiga pemain tersebut ialah Syahmi Zamri, Engku Nur Shakir, serta Norhakim Hassan dianggap calon paling layak untuk mengisi serangan utama Terengganu jika dilihat pada kesesuaian serta prestasi mereka di atas padang.