Pasukan Terengganu semakin mengganas dalam persiapan pra-musim kali ini dengan terbaharu menjadikan bintang Thailand pula dalam sasaran mereka bagi melengkapkan kuota import untuk musim hadapan.
Pemain di posisi tengah menjadi keutamaan pasukan Terengganu kali ini dengan tidak memberi nama import berkenaan secara umum lagi kepada umum.
Dikhabarkan pemain tersebut sudah berada dalam perancangan bagi memperkemaskan jentera tengah pasukan musim hadapan.
Berdasarkan sumber, kecemerlangan pasukan Thailand dalam saingan Piala AFF 2020 membuatkan Terengganu kini beralih tumpuan kepada negara tersebut bagi mencari import berkualiti untuk slot Asean.
Walaupun begitu, mereka mengakui kesukaran untuk mendapatkan salah seorang pemain skuad Thailand dek kerana pemain sana lebih gemar beraksi di saingan liga yang lebih baik seperti di J-League atau Liga Eropah.
Namun wakil daripada Terengganu menyatakan sekurangnya mereka sudah berusaha untuk membawa pemain berkenaan dan menunggu keputusan sama ada pemain tersebut sudi atau akan memberi jawapan yang sebaliknya.
Kelab berkenaan juga tidak mahu mengikat pemain import secara tangkap muat kerana misi mereka adalah untuk memperbaiki keputusan yang lebih baik untuk musim hadapan dengan pemain yang betul-betul berkualiti.
Dalam perkembangan lain, proses rundingan bersama pemain import, Luke Woodland masih dalam perbincangan dan sudah menuju ke fasa akhir sebelum keputusan penuh dibuat sama ada pemain tersebut diikat atau tidak bersama Terengganu.
Pada ketika ini skuad kendalian Nafuzi Zain sudah berjaya mengikat enam pemain import termasuk dua bekas pemain Kedah, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.
Mereka juga mengekalkan Habib Haroon, Argzim Redzovic, dan Jordan Mintah. Seorang muka baharu yang diikat pula adalah Pape Diakite.