Quantcast

BERITA

Terengganu FC Terpaksa Lupakan Khidmat Luis Gustavo Camilo

Hasrat skuad Terengganu FC (TFC) untuk menggunakan khidmat pemain pertahanan import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo dalam aksi Liga Super berdepan Melaka United pada hari sabtu ini tidak menjadi kenyataan.

Beliau yang dibawa masuk untuk menggantikan tempat Igor Zonjic dijangka turut terlepas peluang untuk beraksi dalam perlawanan menentang Perak di Ipoh pada hari selasa depan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh TFC, pemain yang berusia 27 tahun itu tidak dapat diturunkan kerana masih belum menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

KENYATAAN MEDIA : STATUS INTERNATIONAL TRANSFER CERTIFICATE (ITC) LUIS GUSTAVO FRANCISO CAMILO- – – – – – – – – – – -…

Posted by Terengganu Football Club on Tuesday, June 11, 2019

“Hasrat untuk menggunakan khidmat Luis Gustavo daripada Brazil secara pinjaman diposisi pertahanan kemungkinan berubah disebabkan International Transfer Certificate (ITC) pemain tersebut belum diterima.

“Kemungkinan besar TFC menempuhi dua (2) perlawanan awal ini tanpa beliau sehingga jawapan FIFA diterima. Namun langkah susulan telah diambil untuk memastikan agar TFC sentiasa ditahap terbaik.

“FIFA merupakan badan tertinggi di dalam pentadbiran bolasepak dunia yang berperanan menyemak dan menyiasat satu-satu perpindahan pemain berpandukan prosedurnya sebelum ITC dibenarkan bagi seseorang pemain antara negara.

“Segala dokumen telah disempurnakan di dalam prosedur FIFA Transfer Matching System (TMS) perpindahan pemain antara Negara. Sebaik ITC diterima, beliau akan diterbangkan terus ke Malaysia untuk menyertai pasukan. Kini beliau masih bersama kelabnya menjalani latihan serta menguruskan penyediaan datang ke Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, pembantu jurulatih, Mohamed Nik menjelaskan pasukannya tidak begitu risau dengan ketiadaan Camilo dan akan mempertaruhkan gandingan pemain tempatan dalam perlawanan yang akan datang.

“Jika (Camilo) sampai dalam masa terdekat sekalipun, sukar untuk dia mendapatkan rentak bersama rakan sepasukan.

“Pemain tempatan beraksi baik dalam perlawanan terakhir ketika bertemu Selangor bulan lalu dan saya harap mereka mengekalkan momentum itu,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro

TFC juga kemungkinan akan menggunakan khidmat pemain import daripada pasukan TFC II dari Ukraine, Serhii Andrieiev melalui sistem ‘feeder club’.

“Camilo masih berlatih bersama kelabnya di Brazil dan akan terus terbang ke Malaysia sebaik menerima ITC.

“Pihak pengurusan dan kejurulatihan TFC juga bersetuju untuk memanfaatkan sistem ‘feeder club’ bagi mendapatkan pemain tempatan atau import,” jelas kenyataan media tersebut.