Terengganu bakal mengharungi aksi Liga Super seterusnya bagi musim 2024/2025 dengan pasukan itu akan bertandang ke Likas untuk menghadapi cabaran daripada pasukan tuan rumah, Sabah.
Untuk rekod, kedua pasukan itu sudah pun bertemu sebanyak dua kali pada musim ini di pentas Piala FA dengan semua kemenangan berjaya diraih oleh Sang Penyu.
Bawah kendalian Tomislav Steinbruckner, Terengganu tampil tidak memberi muka kepada lawan apabila mereka meraih kemenangan bersih secara agregat 7-0 mengatasi cabaran The Rhinos baik di laman sendiri atau gelanggang lawan.
Malah, Terengganu juga tidak menghadapi masalah pada aksi Likas lalu selepas mereka membenam cabaran Sabah melalui keputusan 3-0 bersama aksi cukup menyakinkan.
Melihat kepada aksi itu, ramai menganggap Sang Penyu sebenarnya tak menghadapi begitu banyak masalah untuk sekali lagi mengulangi kejayaan menewaskan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Namun sebenarnya, aksi lalu itu tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur terbaik buat Terengganu untuk memandang ringan akan cabaran bakal dibawa oleh tuan rumah.
Hal itu diakui sendiri oleh bintang muda Terengganu iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili yang menjangkakan lawan bakal hadir dengan tekad tinggi untuk mengatasi kembali Sang Penyu.
Malah bintang muda Malaysia itu turut mengakui mereka bakal menghadapi cabaran getir beraksi di gelanggang lawan yang dijangka mendapat sorakan padu oleh para peminat.
“Kemenangan 3-0 di tempat lawan pada aksi suku akhir kedua Piala FA dan 4-0 pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bukan jaminan buat kami untuk menundukkan pasukan itu.
“Malah ianya tidak boleh dijadikan ukuran kerana dua saingan itu adalah berbeza ditambah pula pemain lawan pastinya berazam untuk tidak mengulangi kekalahan di tempat sendiri.
“Bagaimanapun kemenangan dalam dua aksi itu sedikit sebanyak menaikkan moral saya dan rakan sepasukan untuk meneruskan momentum kemenangan terhadap pasukan itu biarpun ianya dijangka sukar dan berliku.
“Pada masa sama jika diturunkan sekali lagi berdepan pasukan itu, saya bersama rakan seposisi nekad untuk mempertahankan pintu gol daripada dibolosi pemain lawan,” kata Ubaidullah menerusi laporan Harian Metro.
Pandangan anda, adakah Sang Penyu bakal meneruskan rentak positif mereka ketika bertemu Sabah atau lawan mampu mencipta kejutan?