Gara-gara kerana isu tunggakan gaji yang melibatkan bekas jurulatih dan pemain, juara Piala FAM musim ini, Terengganu City FC (TCFC) disahkan tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Premier musim depan.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam ketika dihubungi oleh Berita Harian.
“FAM sebelum ini mencadangkan nama dua pasukan untuk beraksi di Liga Perdana dan seperti kelazimannya, ia pasukan juara dan naib juara Piala FAM.
“Namun kali ini, kami mendapat surat yang mana FAM tidak mencadangkan TCFC untuk dinaikkan pangkat susulan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pasukan itu.
“Pada pandangan MFL, kami juga bersetuju supaya pasukan berdepan masalah tidak dinaikkan liga dan menjadi tanggungjawab kami untuk tidak membenarkan pasukan sebegini beraksi.
“Jika di saingan Piala FAM pun mereka sudah berdepan masalah, saya khuatir mereka akan terus dibelenggu masalah sama di Liga Perdana yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan lebih besar,” kata Kevin.
Terengganu City FC perlu melunaskan tunggakan gaji bernilai RM321,700
Baru-baru ini, Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan lima pasukan termasuk Terengganu City FC melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM2.64 juta secara keseluruhan kepada pemain dan pegawai pasukan.
Tunggakan tertinggi membabitkan tuntutan gaji dan pampasan baki kontrak 20 pemain Hanelang FC yang ‘menimbun’ sebanyak RM1.1 juta, diikuti tunggakan gaji 21 pemain dan dua pegawai Marcerra United berjumlah RM886,400.
Satu lagi pasukan kontroversi yang tidak pernah lekang dengan masalah sama iaitu Kuantan FA sekali lagi diheret Jawatankuasa Status FAM apabila 14 pemainnya mengemukakan tuntutan sebanyak RM311,000.
Selain empat pasukan terbabit, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pula berhutang selepas seorang pegawainya menuntut tunggakan gaji berjumlah RM32,000.
Mereka perlu menjelaskan tunggakan itu dalam tempoh 30 hari dan kegagalan berbuat demikian membolehkan FAM memotong apa-apa deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa sahaja kewangan responden yang masih berbaki untuk dibayar terus kepada pengadu.
Sebagai rekod, TCFC meraih kejuaraan Piala FAM selepas menundukkan Selangor United 2-0 pada final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, September lalu.