Terengganu nampaknya bakal menghadapi satu lagi aksi getir pada saingan ACC Shopee Cup musim ini dengan perlawanan seterusnya membabitkan kelab itu menentang wakil dari Indonesia, PSM Makassar.
Nama PSM Makassar sebenarnya bukan lagi suatu yang asing buat peminat bola sepak tempatan selepas pasukan dari Indonesia itu pernah mencipta pertemuan bersama beberapa kelab tempatan.
Hadir dengan beberapa pemain berkualiti serta corak permainan serangan berbahaya, sudah tentu ia dilihat sedikit sebanyak mampu untuk memberi kesukaran buat Sang Penyu pada hari esok.
Apatah lagi pasukan lawan juga masih belum tewas sejak tiga perlawanan terakhir dihadapi yang menyaksikan momentum mereka berada pada tahap cukup baik.
Disebabkan itu pengendali utama Terengganu, Badrul Afzan Razali mencipta persiapan sebaik mungkin untuk mengelak sebarang kemungkinan demi mencerahkan peluang mereka meraih kemenangan.
Jelas beliau, para pemain kini sudah pun bangkit daripada kekecewaan serta tampil bersedia untuk mengharungi perlawanan penting itu di laman sendiri pada hari esok.
Badrul Afzan | "Para pemain sudah melupakan kekalahan kita dalam perlawanan sebelum ini dan respon mereka cukup positif untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya Rabu ini. PSM Makassar adalah salah sebuah pasukan terbaik di liga Indonesia pada musim ini dan kita tidak akan… pic.twitter.com/hn0hLAucNy
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 20, 2025
“Alhamdulillah, pemain cukup positif dan sedia bangkit dalam perlawanan seterusnya. PSM Makassar adalah antara pasukan terbaik di liga Indonesia ketika ini dan kita tidak boleh sesekali ambil mudah dalam membuat persiapan menentang pasukan ini terutamanya apabila kita kini tidak boleh tewas dalam baki perlawanan peringkat kumpulan untuk memastikan kita mampu layak ke peringkat seterusnya.
“Dengan kembalinya ketua pasukan Safawi Rasid dan Azam Azmi serta beberapa orang lagi pemain yang dilihat telah cergas sepenuhnya untuk bermain, saya yakin, Rabu ini kita akan turun dengan barisan terkuat untuk memastikan kita berjaya mendapatkan kemenangan di gelanggang sendiri.
“Saya sentiasa ingatkan para pemain, walaupun kebanyakan dari mereka masih muda, tetapi mereka perlu berfikiran matang dan mentaliti mereka perlu sentiasa berada di tahap terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi.
“InsyaAllah, dengan semangat yang ditunjukkan para pemain pada ketika ini, Rabu ini kita akan tampil berbeza,” ujar jurulatih berkenaan di media sosial rasmi Terengganu.
Terdahulu Sang Penyu meraih kemenangan besar 5-0 mengatasi wakil kelab dari Myanmar iaitu Shan United untuk menghidupkan semula peluang melangkah ke pusingan seterusnya.
Sudah tentu aksi esok juga dianggap sangat penting demi memastikan kemenangan dilakar dan memastikan Terengganu terus terbang tinggi di pentas Asia.