TEORI TAKTIKAL : Merungkai 5 Konsep Bola Sepak Moden Yang Menghasilkan Gol Pertama Harimau Malaya

Malaysia membawa bekalan tipis untuk aksi timbal balik separuh akhir pusingan kedua Piala AFF 2022 setelah berjaya menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)malam ini.

Diiringi sorakan padu lebih 60 ribu penyokong yang membanjiri ‘rumah’ Harimau Malaya, Malaysia mempamerkan aksi bertenaga sebaik perlawanan dimulakan, dan hasilnya, mereka berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi Faisal Halim.

Skuad negara kemudiannya mengambil pendekatan secara konservatif sebaik sahaja mendahului Thailand, di mana mereka lebih memberi penumpuan untuk menyusun blok pertahanan serta menyerap tekanan bagi mempertahankan kelebihan jaringan gol.

Sambil itu, mereka juga menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas dengan mengambil kesempatan ke atas Thailand yang bermain di garisan tinggi.

Hasilnya, tuan rumah berjaya mempertahankan kedudukan sehingga perlawanan tamat, sekaligus berjaya membawa bekalan untuk aksi separuh akhir pusingan kedua di gelanggang lawan, selasa ini.

Lupakan seketika kontroversi jaringan gol kedua Malaysia menerusi Domic Tan yang dibatalkan pengadil perlawanan iaitu Kim Dae-yong.

Ini kerana jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon dilihat berjaya menyuntik elemen bola sepak moden dalam organisasi serangan pasukan kendaliannya.

Binaan gerakan serangan yang menghasilkan jaringan gol Malaysia sedikit sebanyak menunjukkan kepada kita beberapa elemen taktikal bola sepak moden yang digarap oleh Kim Pang Gon yang menjadi teras falsafah serangan pasukan Harimau Malaya.

Namun, apakah elemen serta konsep taktikal bola sepak moden yang dimaksudkan? Analisis kami akan merungkainya.

1. Struktur serangan yang fleksibel.

Ketika aksi separuh akhir pusingan pertama bertemu Thailand, Malaysia memulakan perlaswanan tersebut dengan sistem bek berempat menerusi formasi 1-4-2-3-1.

Namun, Harimau Malaya mempamerkan struktur yang fleksibel ketika mereka berada dalam fasa serangan, di mana salah seorang daripada ‘double pivot’ pasukan iaitu Brendan Gan, akan melakukan selitan di antara Shahrul Nazeem dan Dominic Tan bagi membentuk bek bertiga di garisan pertama serangan pasukan.

Mereka akan disokong oleh Stuart Wilkin yang beroperasi sebagai ‘pivot’ pasukan, serta menolak kedua-dua pemain ‘fullbacks’ pasukan iaitu Ruventhiran dan Quentin Cheng untuk menyertai unit serangan berlima pasukan bersama-sama Faisal Halim, Darren Lok dan Safawi Rasid.

2. Serangan berasaskan konsep ‘Positional Play’

Malaysia turut mempamerkan kesegaran dalam menyusun binaan gerakan serangan pasukan apabila mereka menggunakan konsep ‘positional play’, yang turut menjadi falsafah kepada jurulatih-jurulatih elit dunia seperti Pep Guardiola.

Dalam konsep ‘positional play’ ini, sesebuah pasukan akan cuba mencipta situasi ‘superiorities’ ke atas pasukan lawan dalam aspek bilangan pemain (numerical superiorities), posisi (positional superiorities), serta kualiti pemain (qualitative superiorities) ketika menyusun struktur serangan pasukan.

Menerusi usaha untuk memburu jaringan gol, Malaysia cenderung menyusun binaan serangan mereka daripada penjaga gol (build-up from the back), serta peranan selitan yang dilakukan oleh Brendan Gan bagi membentuk bek bertiga, serta disokong oleh ‘pivot’ pasukan, Stuart Wilkin mencipta ‘numerical superioroties dalam melepasi tekanan awal pasukan Thailand. (situasi 3 lawan 2).

‘Numerical superiorities’ ini terjadi apabila Thailand tidak agresif dalam melakukan sebarang tekanan tinggi, sebaliknya mereka menyusun blok pertahanan mereka secara 4-4-2 ‘mid-blocks’.

Situasi ini turut membolehkan Malaysia memperolehi lebihan pemain (spare man) di bahagian pertahanan bagi melaksanakan tugasan ‘ball-playing defenders’ yang akan diterangkan dengan lebih lanjut selepas ini.

3. Manipulasi ruang di antara garisan (space in between the lines)

Sejurus sebelum jaringan gol terhasil, Lee Tuck turun ke bahagian dalam (drop deeper) untuk beroperasi di antara pemain serangan dan tengah pasukan Thailand (space in between the lines).

Ruangan ini berpotensi untuk turut membantu pemain Malaysia melakukan hantaran tembusan (penetration pass) bagi melancarkan lagi gerakan serangan pasukan Malaysia.

4. Mengunci pemain pertahanan lawan (pinning the opponents backline)

Konsep ‘pinning’ ini turut dilaksanakan oleh pemain serangan Malaysia dalam usaha mereka untuk mencarikkan barisan pertahanan lawan, sekalgus mencipta bukaan ruang yang boleh dieksploitasi oleh rakan sepasukan yang lain.

Merujuk kepada gambar di atas, ketika Sharul Nazeem memiliki penguasaan bola, pemain serangan Malaysia ‘mengunci’ 3 pemain pertahanan lawan Thailand, bagi mendedahkan pemain pertahanan kanan lawan dalam situasi 1 lawan 2 di bahgaian sisi bertentangan.

5. Kepentingan peranan ‘ball playing defenders’ dalam sistem serangan Kim Pang Gon

‘Ramuan’ terakhir bagi melengkapkan konsep taktikal bola sepak moden yang menghasilkan jaringan gol Malaysia adalah kepentingan peranan ‘ball playing defenders’ dalam sistem serangan pasukan.

Ketiadaan Khuzaimi Pie yang terpaksa disishkan ekoran kecederaan sedikit sebanyak menghadirkan keresahan buat pasukan Malaysia.

Ianya ekoran kualiti yang dimiliki oleh bakal pemain Selangor tersebut bagi memainkan peranan ‘ball playing defenders’, bagi mengatur serangan pasukan daripada kawasan bawah (deep area).

Namun, isu tersebut berjaya diselesaikan oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya, apabila Brendan Gan kini ditugaskan untuk memainkan peranan tersebut bersama-sama Shahrul Nazeem dan Dominic Tan.

‘Numerical superiorities’ yang dijelaskan sebelum ini membolehkan ketiga-tiga pemain pertahanan ini memilih destinasi hantaran mereka tanpa sebarang tekanan daripada pemain lawan, terutamanya menerusi hantaran secara ‘diagonal’ bagi melepasi blok pertahanan Thailand dengan lebih pantas.

Gambar di atas menunjukkan struktur serangan awal pasukan Malaysia. Mereka cenderung menyusun binaan serangan  daripada penjaga gol (build-up from the back). dan peranan selitan yang dilakukan oleh Brendan Gan membentuk bek bertiga, serta disokong oleh ‘pivot’ pasukan, Stuart Wilkin sekaligus mencipta ‘numerical superioroties dalam melepasi tekanan awal pasukan Thailand. (situasi 3 lawan 2).

‘Numerical superiorities’ yang dicipta membolehkan Shahrul Nazeem memilih destinasi hantaran beliau yang seterusnya tanpa sebarang tekanan daripada pemain lawan, dengan melancarkan hantaran secara ‘diagonal’ kepada Ruventhiran yang turut mencipta situasi ‘numerical superiorities’ ke atas pemain pertahanan Thailand bersama Faisal Halim. Konsep ‘pinning’ yang dilakukan oleh Safawi dan Darren Lok turut membantu mencipta bukaan ruang antara pemain pertahanan Thailand.

Serta membolehkan Faisal Halim menyerang bukaan ruang tersebut setelah menerima ‘flick header’ daripada Ruventhiran.

Sekaligus membolehkan Malaysia menjaringkan gol pertama perlawanan diiringi sorakan ‘siuuuuu’ daripada puluhan ribu penonton yang membanjiri SNBJ.

Penutup

Sebaik mendahului pasukan Thailand, Malaysia mengambil pendekatan permainan secara berhati-hati, di mana mereka memberi penekanan kepada organisasi bertahan, serta menunggu masa sesuai untuk melancarkan gerakan serangan balas dalam usaha untuk melindungi kelebihan jaringan gol yang dimiliki.

Meskipun menerima asakan hebat pasukan pelawat, Malaysia berjaya mempertahankan kelebihan tersebut sehingga wisel penamat dibunyikan.

Malaysia dijangka menghadapi cabaran getir dalam usaha untuk mempertahankan bekalan tipis tersebut, namun tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.

Kepimpinan Kim Pang Gon bakal ditagih sekali lagi bagi memastikan Malaysia melangkah ke pentas akhir Piala AFF 2022.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN