TEORI TAKTIKAL : Isu ‘Cohesion’ Yang Menghantui Harimau Malaya

Permulaan 

Dalam konteks bola sepak, ‘cohesion’ boleh diumpamakan sebagai struktur yang kukuh dan jitu bagi mempersiapkan sesebuah pasukan beserta pemain mereka untuk menghadapi fasa-fasa penting dalam permainan.

Antaranya seperti fasa penguasaan bola (serangan), fasa ketika pasukan tanpa penguasaan bola (bertahan), serta transisi permainan sama ada transisi menyerang kepada bertahan dan sebaliknya.

Ketika aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 tempoh hari, tiga gol yang dijaringkan oleh Thailand boleh menunjukkan kepada kita tentang Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon menghadapi isu ‘cohesion’ yang berulang, sekaligus meragut hasrat pasukan negara untuk mara lebih jauh dalam kejohanan dwitahunan ini.

‘Cohesion’ sesebuah pasukan mampu dimusnahkan dengan kegagalan pemain mereka memenuhi tuntutan teknikal serta taktikal permainan bola sepak itu sendiri.

Misalnya seperti gagal berada di kedudukan bertahan yang baik untuk menyekat lorong hantaran pasukan lawan, kesilapan dalam melakukan jangkaan masa untuk memberi tekanan serta membaca arah pergerakan bola, selain tugasan ‘shifting’ yang tidak dilakukan dengan baik sehingga mewujudkan bukaan ruang di antara pemain-pemain melakukan tugasan bertahan.

Kaitan jaringan-jaringan gol Thailand dengan isu ‘cohesion’ Harimau Malaya 

Ketika jaringan pertama Thailand terhasil menerusi Teerasil Dangda, kegagalan para pemain Malaysia untuk berada di kedudukan bertahan yang ideal bagi menutup lorong hantaran pasukan Thailand meruntuhkan ‘cohesion’ skuad kebangsaan dengan sekelip mata.

Gambar di atas menunjukkan struktur serangan Thailand bagi membina gerakan serangan yang menghasilkan gol pertama mereka dalam perlawanan ini.

Binaan serangan pasukan Thailand adalah berasaskan struktur ‘2-2’ di mana kedua-dua ‘centre-backs’ mereka akan disokong oleh 2 pemain ‘midfielders’ bagi melepasi tekanan awal pasukan Malaysia yang bertahan secara ‘mid blocks’ 4-2-3-1.

Pertukaran posisi yang aktif di kalangan pemain Thailand turut menjadi salah satu kunci kepada kejayaan mereka dalam memecahkan benteng pertahanan Malaysia apabila Theerathon Bunmathan (jersi 3) menyediakan ‘width’ pasukan, sementara pemain ‘fullbacks’ kiri Thailand, Sasalak Haiprakhon (jersi 2) melakukan ‘inverting’ ke bahagian tengah bagi mengimbangi struktur serangan pasukan.

Ketika pemain tengah Thailand, Peeradol memiliki penguasaan bola dan Brendan Gan tidak menutup lorong hantaran kepada Bordin Phala (jersi 11) yang bijak mengeksploitasi ‘space in between the lines’ pasukan Malaysia.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Thailand membina gerakan serangan mereka dengan struktur ‘2-2’, di mana Theerathon menyediakan ‘width’ pasukan, sementara Bordin Phala mengeksploitasi ‘space in between the lines’ pasukan Malaysia.

Lorong hantaran yang tidak ditutup membolehkan Thailand melakukan ‘penetration pass’ yang menewaskan 5 pemain Malaysia serentak.

‘Space in between the lines’ membolehkan Bordin Phala menerima bola tanpa tekanan pemain Malaysia, sekaligus membolehkannya melakukan pusingan badan serta melebarkan hantaran kepada Theerathon.

‘Width’ yang disediakan Theerathon sebelum ini menarik keluar Azam Azmi, serta mengasingkan 3 pemain pertahanan Malaysia yang lain bersama Teerasil Dangda (jersi 10) dan Ekanit (jersi 17).

Ketika Theerathon berada di kedudukan serangan yang baik, terdapat bukaan ruang di antara Shahrul Nazeem dan Dominic Tan yang berjaya dihidu oleh Dangda.

Teerasil Dangda melakukan ‘check-in check-out’ bagi melepaskan diri dari kawalan Dominic serta menyerang ruang di belakang Shahrul Nazeem.

Bagi membolehkan Thailand menjaringkan gol pertama mereka dalam perlawanan ini.

Isu ‘cohesion’ yang sama turut berlaku ketika gol ketiga pasukan Thailand dijaringkan menerusi Adisak Kraisorn.

Thailand mempamerkan struktur fleksibel dengan menyusun binaan serangan mereka secara 4-3-3 ketika fasa awal serangan sejurus sebelum gol ketiga mereka dijaringkan.

Malaysia ketika ini masih mengekalkan organisasi bertahan mereka secara ‘mid blocks’ 4-2-3-1.

Jangkaan masa yang tidak berkesan daripada Safawi Rasid membolehkan pemain Thailand yang memiliki penguasaan bola melakukan pusingan badan.

Bagi membantunya melindungi bola daripada Safawi Rasid serta menyerang ruang yang terbuka. Brendan Gan yang sekali lagi tidak berada di kedudukan bertahan ideal membuka lorong hantaran buat pemain tengah Thailand Peeradol yang berada di ‘space in between the lines’.

Sekaligus membolehkan Thailand untuk serkali lagi melakukan ‘penetration pass’ yang menewaskan 5 pemain Malaysia serentak.

Selain itu situasi meletakkan Thailand dalam kedudukan serangan yang baik (positional superiorities) ke atas pemain pertahanan Malaysia.

Dalam situasi ini, ketika Ekanit Panya memperoleh penguasaan bola, pemain ‘fullbacks’ Thailand iaitu Suphanan Bureerat turut menyediakan larian sokongan bagi mencipta situasi dilema ke atas pemain pertahanan kiri Malaysia, Ruventhiran.

Ianya secara tak langsung menyebabkan Ruventhiran dalam dilema sama ada untuk kekal di posisi asalnya bagi mengekang kemaraan Ekanit, ataupun menumpukan perhatian kepada Suphanan di bahagian sisi.

Ruventhiran memilih untuk kekal di posisinya, sekaligus membuka ruang yang lebih besar buat Suphanan.

Bagi membolehkannya melakukan hantaran lintang berkualiti di antara penjaga gol dan barisan pertahanan Malaysia yang membantu jaringan Adisak.

Penutup

Isu ‘cohesion’ ini sebenarnya telah menghantui pasukan Malaysia sejak saingan peringkat kumpulan Piala AFF 2022, dan isu ini kelihatan lebih jelas ketika aksi bertemu Thailand dalam aksi separuh akhir pusingan kedua tempoh hari.

Namun, kejayaan Malaysia mara ke peringkat separuh akhir dalam kempen Piala AFF 2022 kali ini wajar diberikan kredit ekoran kekangan yang dihadapi oleh pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-Gon untuk mengumpul barisan pemain yang berkualiti bagi mengharungi kejohanan yang tidak mendapat pengiktirafan kalendar FIFA tersebut.

‘Come back stronger’ Harimau Malaya!

Leave a Reply