Bekas jurulatih skuad B-16 negara yang juga merupakan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim berpendapat JDT adalah kelab bola sepak paling sesuai untuk pemain-pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) meneruskan karier profesional masing-masing satu hari nanti.
Menurut Teong Kim, ini adalah kerana kelab bola sepak dari selatan tanah air itu mempunyai kelengkapan prasarana moden dan terbaik di negara ini.
Malah beliau berpendapat Akademi JDT pada hari ini turut memiliki sistem latihan tersusun dan menepati kriteria bola sepak moden yang diamalkan pada hari ini – dan merupakan yang terbaik di rantau Asia Tenggara setakat ini.
Komen dari Lim Teong Kim – yang masa depan beliau bersama NFDP sedang hangat diperkatakan oleh ramai – dilaporkan oleh Berita Harian ketika ditemui oleh wartawan akhbar berkenaan di Johor Bahru kelmarin.
Apa yang mengkagumkan Teong Kim lagi ialah kelengkapkan pusat latihan mengikut piawaian antarabangsa yang dimiliki kelab tersebut dari peringkat akar umbi sehingga senior.
“Saya lihat di JDT mempunyai program pembangunan amat baik apabila mengadakan kolaborasi bersama kelab ternama Jerman, Borussia Dortmund dan kelab dari Sepanyol, Valencia CF sebelum ini dan modul digunakan juga bertepatan untuk memajukan pembangunan bola sepak akar umbi.
“Saya percaya Akademi JDT tempat paling sesuai untuk mengembangkan karier bolasepak dan mampu mencungkil lebih ramai pemain muda berkaliber yang akan mengharumkan lagi bola sepak negara,” kata Teong Kim seperti yang dilaporkan akhbar nasional itu.
PERKEMBANGAN SKUAD AKADEMI JDT ANTARA PERKARA PENTING ‘BLUEPRINT’ JDT
Disamping kejayaan demi kejayaan Kelab Bolasepak…
Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, July 24, 2019
JDT adalah juara Liga Super buat kali ke-6 secara berturut-turut pada musim ini. Musim 2019 juga menyaksikan penampilan pertama skuad Harimau Selatan di pentas tertinggi Asia di dalam pertandingan Asian Champions League (ACL 2019).
Diterajui oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), JDT telah tampil sebagai pasukan yang dominan dengan pencapaian demi pencapaian baik di dalam dan juga di luar padang.