Tengku Hazman Kembali Ke Pangkuan Kelantan FA

Bekas Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) II, Tengku Hazman Raja Hassan kembali berbakti di negeri kelahirannya selepas ditawarkan untuk menjadi Penolong Jurulatih bersama pasukan Kelantan FA yang akan beraksi di saingan Liga Premier pada musim depan.

Jurulatih berusia 42 tahun itu sepanjang karier sebagai pemain tidak pernah bermain untuk Kelantan, tetapi beliau diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad Piala Belia Kelantan pada tahun 2013 hingga 2016.

Kemudian pada 2017 beliau berhijrah ke Terengganu untuk membimbing skuad Piala Belia T-Team dan kemudian dilantik sebagai pengendali pasukan utama TFC II pada tahun berikutnya.

Memetik laporan berita dari media sosial rasmi Kelantan FA, Tengku Hazman menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana memberi peluang kepadanya untuk kembali bersama pasukan itu.

Dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan, beliau bertekad mahu membalas kepercayaan tersebut dengan membawa The Red Warriors kembali beraksi di saingan Liga Super musim 2021.

“Harapan kita sudah tentu sasaran utama apa yang KAFA mahukan untuk musim depan (layak ke Liga Super).

“(Dengan) rata-rata pemain yang ada disamping persediaan setakat ini, Insya Allah ada sinar untuk musim depan,” katanya.

Tambah Tengku Hazman lagi, beliau berbesar hati dapat bekerjasama dengan ketua jurulatih, Yusri Che Lah yang sudah dikenalinya sejak sekian lama. Menurutnya persahabatan yang telah terjalin selama ini akan memudahkan gandingan mereka  pada musim depan.

“Sebelum ini (kenal Yusri) sebagai pemain agak lama tapi dalam bidang kejurulatihan ini baru pertama kali,” ujarnya lagi.

Kejayaan terbesar Tengku Hazman dalam bidang kejurulatihan adalah membawa pasukan TFC II muncul juara Piala Cabaran pada tahun 2018. Beliau kemudian meninggalkan pasukan tersebut selepas kontraknya berakhir pada penghujung Oktober lepas.

Leave a Reply