Ten Hag Bengang Dengan Ronaldo Dan Pemain Lain Yang ‘Blah’ Awal Ketika Aksi Menentang Rayo Vallecano

Erik ten Hag Cristiano Ronaldo

Pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag tidak dapat menerima tindakan beberapa pemain termasuk Cristiano Ronaldo meninggalkan Old Trafford sebelum tamat aksi persahabatan pra-musim menentang Rayo Vallecano pada Ahad lalu.

Penyerang Portugal berkenaan kembali bersama skuad sebelum perlawanan tersebut selepas terlepas jelajah pasukan di Thailand dan Australia atas alasan urusan keluarga.

Beliau yang diturunkan dalam kesebelasan utama gagal menjaringkan gol dan digantikan pada selepas tamat separuh masa.

Kemudian tular di sosial media yang memaparkan imej Ronaldo meninggalkan stadium sebelum perlawanan yang berakhir 1-1 itu tamat dan BBC turut melaporkan beberapa pemain lain yang duduk di kawasan tempat duduk VIP juga pulang awal.

“Kita merupakan satu pasukan dan itu bermakna kami perlu kekal sehingga tamat perlawanan. Perkara ini tidak boleh diterima buat mereka yang terlibat,” ujar Ten Hag ketika menjawab soalan pihak media mengenai isu tersebut.

Masa depan Ronaldo sudah menjadi tumpuan setelah spekulasi oleh media British melaporkan bahawa pemain berusia 37 tahun itu mahu segera meninggalkan kelabnya bagi membolehkan beliau beraksi di kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Musim ini United hanya akan beraksi di kejohanan Liga Europa dan ia menyukarkan beliau untuk terus melebarkan rekodnya di liga elit berkenaan.

Kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bermula pada hujung minggu ini dengan United dijadualkan bertemu Brighton & Hove Albion pada Ahad.

Leave a Reply