Pada hari Ahad petang semalam, saya menerima email dari unit media FAM. Tajuk emailnya berbunyi ‘JEMPUTAN MEDIA: SIDANG MEDIA PENGUMUMAN KETUA JURULATIH BAHARU SKUAD KEBANGSAAN’.
Saya menarik nafas lega. Akhirnya setelah dua kali bertangguh membuat keputusan sejak hujung tahun lepas, FAM akan mengumumkan siapa yang akan menggantikan Dollah Salleh sebagai jurulatih skuad kebangsaan.
Banyak calon memohon
Sejak jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan dikosongkan oleh Dollah Salleh dan dipangku oleh Datuk Ong Kim Swee, FAM sibuk menerima permohonan untuk mengisi jawatan tersebut. Dari dalam mahupun dari luar negara.
Antara yang memohon adalah lagenda pertahanan Chelsea yang pernah memohon jawatan sama sebelum ini, Marcel Desailly.
Turut memohon adalah bekas staf kejurulatihan Sir Alex Ferguson di Manchester United, Rene Meulesteen dan penolong pengurus Jose Mourinho di Chelsea, Ray Wilkins.
Dari Asia, sumber kami dari Myanmar pula memberitahu Radojko Avramovic turut berminat dengan jawatan tersebut. Di India, pengurus Bengaluru FC Ashley Westwood turut berminat.
Dari Malaysia, pemangku jawatan, Datuk Ong Kim Swee, bekas ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak dan Kelantan, George Boateng pula berminat.
Senang kata, jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan kita adalah jawatan panas dan menarik.
3 calon terakhir
Di sebalik berpuluh-puluh nama-nama pemohon yang terkenal, FAM akhirnya hanya memilih Bojan Hodak, Datuk Ong Kim Swee dan bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts sebagai calon terakhir yang layak ke sesi pemilihan terakhir.
Jika dilihat di antara ketiga-tiga calon pilihan FAM, jelas FAM mahukan pengganti Dollah Salleh nanti telah mempunyai pengalaman luas dalam senario bola sepak tempatan.
Bojan Hodak bukan nama asing lagi dalam bola sepak Malaysia sejak membantu Shebby Singh mengendalikan rancangan realiti TV, MyTeam pada 2006.
Datuk Ong Kim Swee pula sudah 2 kali merasai bibit-bibit aksi sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan selepas 2 kali menjadi pemangku. Kali pertama, selepas Datuk K. Rajagobal meletak jawatan. Kali kedua, selepas Dollah Salleh meletak jawatan.
Robert Alberts pula mencipta nama di Malaysia bermula di Kedah, apabila menjulang Piala Malaysia dan kejuaraan liga pada 1993. Beliau juga pernah menjadi Pengarah Teknikal FAM sekitar tahun 2005-2008.
Temuduga pagi, umum keputusan petang
Melihat senarai nama 3 calon terakhir ini, saya berpendapat ada logiknya pemilihan FAM. Ia bukanlah keputusan yang popular, tapi saya merasakan FAM meletakkan pengalaman sebagai merit tertinggi untuk memperbaiki nasib skuad kebangsaan.
Tetapi apabila membaca status FAM yang ditulis pada pukul 10 pagi ini, serta-merta saya menjadi bingung.
Sesi temuduga jurulatih kebangsaan bermula. Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM memanggil masuk calon pertama, Datuk Ong…
Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Sunday, January 17, 2016
“Petang ini umum keputusan, pagi ini baru nak interview?” soal saya dalam hati.
Dan saya pasti ini bukannya reaksi saya seorang saja. Buktinya ramai peminat bola sepak Malaysia juga menyuarakan kebimbangan yang sama, tetapi dari nada sarkastik.
Ada juga yang merasakan proses temuduga ini hanya satu formaliti sahaja. Sedangkan FAM sudah mempunyai pilihan mereka dari awal.
Lebih baik FAM buat macam Kazakhstan
Pada minggu lepas Kazakhstan FA memberi peluang kepada penyokong bola sepak Kazakhstan untuk mengundi siapa yang bakal menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan mereka.
Dalam laman web Kazakhstan FA, arahan undiannya berbunyi:
“Jika undian kurang 50,000, proses undian ini akan terbatal kerana ia tak mewakili suara majoriti rakyat Kazakhstan. Tetapi jika lebih 50,000, undian peringkat ke-2 akan dilangsungkan.”
“Setiap calon mempunyai kepakaran dan skil yang diperlukan untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Kazakhstan.”
“Apa jua pilihan penyokong dalam undian, kami (Kazakhstan FA) akan menghormatinya.”
Bagi saya, cara Kazakhstan FA memilih ketua jurulatih skuad kebangsaan mereka agak radikal, tak praktikal dan merepek.
Ini kerana setiap calon tak diberi peluang berkempen kepada pengundi seperti pilihan raya politik. Undian tanpa kempen adalah sejenis popularity contest. Calon yang paling terkenal dan popular, pasti akan menang.
Tetapi tindakan FAM membuat keputusan sejurus selepas temu duga tamat juga adalah sesuatu yang agak radikal, tak praktikal dan merepek. Lebih-lebih lagi untuk jawatan besar seperti ketua jurulatih skuad kebangsaan.
Jika FAM awal-awal lagi sudah mempunyai pilihan calon mereka dan temu duga ini adalah sekadar satu formaliti saja, apa pula parameter yang digunakan FAM untuk menentukan pengganti Dollah Salleh?
Seperti yang saya kata, lebih baik FAM buka undian terbuka kepada semua penyokong Harimau Malaya untuk memilih calon kesukaan mereka seperti yang Kazakhstan lakukan.
Ini kerana kedua-dua cara FAM dan Kazakhstan FA memilih ketua jurulatih skuad kebangsaan mereka adalah radikal, tak praktikal dan merepek.
Baca juga: 5 Pengajaran Penting Daripada Lim Teong Kim Semasa Forum Bola Sepak Malaysia