Jangkaan dan perancangan taktikal pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain untuk berdepan Perak FC mengena dan ia memudahkan para pemain untuk mengikuti arahan serta melangsaikannya untuk meraih kemenangan.
Beliau menjangkakan Perak akan lebih bertahan dalam perlawanan malam tadi dan berdasarkan kenyataan pengendali sementara Perak, Shahril Nizam, Perak sememangnya turun dengan pendekatan lebih bertahan.
Ungkap Nafuzi Zain di sidang media selepas menewaskan Perak dengan keputusan 4-0, “Sebelum perlawanan saya menjangka Perak akan lebih bertahan dan mereka telah menurunkan banyak pemain-pemain segar dalam kesebelasan utama hari ini. Kebanyakkan pemain itu lebih berpengalaman daripada pemain sebelum ini.”
📹 HIGHLIGHTS: @FCTerengganu 4-0 @peraktbgmy
Terengganu raih kemenangan keempat berturut-turut menerusi gol Makan Konate, David da Silva, Dechi N'Guessan dan Faisal Abdul Halim.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/O3B4Le7Upj
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 3, 2021
“Jadi, dari awal perlawanan kita ‘all out’ dan ‘push’ untuk dapatkan gol. Daripada apa yang kita rancang untuk hari ini, menjadilah, Alhamdulillah,” tambahnya mengenai misi dan perancangan Terengganu berdepan Perak.
Sang Penyu selesa mendahului aksi di babak pertama dengan tiga gol menerusi ledakan jauh Makan Konate di minit ke-13, David da Silva di minit ke-20 dan ‘tembakan’ jauh Dechi Marcel di minit ke-26, sebelum Faisal Halim melengkapkan kemenangan besar tuan rumah dengan jaringan gol daripada sepakan penalti di minit ke-67.
Nafuzi Zain mengakui tiga jaringan di babak pertama banyak membantu kelancaran perlawanan malam ini, selain jangkaannya tentang taktikal Perak mengena memudahkan para pemain untuk melunaskannya.
Terengganu juga miliki banyak pilihan pemain untuk diturunkan dan memudahkan pengendalinya, Nafuzi Zain untuk merancang dalam satu-satu perlawanan yang menyaksikan mereka mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Terengganu dan Selangor FC sah mara ke suku akhir daripada Kumpulan B dengan Kuching City FC dan Perak FC sudah jauh ditinggalkan, walaupun saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan lagi.
Nafuzi Zain tiada masalah untuk membuat penggiliran pemain dan dapat dilihat perubahan yang dilakukannya dalam dua aksi terkini ketika berdepan Perak, membuahkan hasil yang sama iaitu dua kemenangan besar.
Perubahan yang dilakukan adalah posisi Suhaimi Husin di gawang kini digalas oleh Sharmiza Yusof, tempat Azam Azmi Murad diambil Azarul Nazarith, Lee Tuck dan Makan Konate silih berganti, ketiadaan Hakimi Abdullah tiada masalah serta penggiliran Jordan Mintah dengan David da Silva memberikan impak berbeza.
Ia satu percaturan yang berani dan berisiko, namun berdepan pasukan yang mungkin sedikit lemah di peringkat kumpulan Piala Malaysia telah memberikan ruang buat para pemain Sang Penyu cuba membiasakan diri.
“Bagi saya, semua pemain yang ada dengan saya, saya percaya. Dalam latihan mereka beri komitmen penuh untuk pasukan. Semua pemain saya ini boleh bermain, cuma menunggu masa yang sesuai sahaja.
“Macam Makan Konate dan David da Silva terlepas aksi sebelum ini dan malam inilah peluang terbaik saya beri dan mereka balas kepercayaan saya. Bagus untuk pemain itu dan juga pasukan,” jelas Nafuzi Zain.