“Tiada orang suka kalah. Tetapi itu tak bermakna ia perjalanan terakhir kita.”
Begitulah mukadimah team-talk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) di bilik persalinan pemain Malaysia susulan kekalahan pasukan bawah-23 negara kepada Thailand malam semalam.
Dalam perlawanan penentuan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA KL2017 semalam, gol sendiri penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli menjadi pemisah – sekaligus membolehkan Thailand mempertahankan ‘ibu pingat emas’ itu buat kali ketiga berturut-turut.
Seperti jutaan rakyat Malaysia yang menyaksikan perlawanan tersebut – sama ada dari stadium atau kaca TV – TMJ turut berasa kecewa dengan kekalahan tersebut. Tetapi kekecewaan baginda disulami dengan perasaan bangga.
“Saya berasa bangga dengan apa yang kita ada untuk masa akan datang. Anda adalah aset negara. Tiada sesiapa pun dalam bilik ini yang telah memalukan negara,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan pemain supaya tidak terlalu sedih dengan kekalahan ini dan cuba bangkit pada masa akan datang memandangkan pemain-pemain masih muda lagi.
“Sekarang, lupakan apa yang dah terjadi. Kita jadikannya sebagai pengajaran. Sekarang adalah masa kita untuk pandang ke hadapan. Perjalanan anda [sebagai pemain] masih jauh lagi.”
Sebelum mengakhiri team-talk baginda, TMJ turut menjanjikan insentif buat semua anggota pemain bawah-23 negara sebagai penghargaan kepada hasil usaha mereka sepanjang kempen Sukan SEA KL2017.
Bukan kali pertama
Team talk ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh TMJ. Sebagai seorang presiden yang hands-on, baginda turut kerap berhubung dengan pemain-pemain – sama ada melalui perjumpaan pasukan mahupun panggilan telefon.
Sebelum perlawanan separuh akhir Sukan SEA KL2017 menentang Myanmar pada Sabtu lepas, TMJ turut turun memberikan kata-kata semangat kepada pemain-pemain.
Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM turut mengesahkan TMJ sentiasa menelefon sebelum dan selepas perlawanan sejak perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA KL2017 untuk menyuntik semangat kepada pemain-pemain.