Pemain import baharu Selangor dari Australia, Taylor Regan kemungkinan akan membuat penampilan pertamanya dengan skuad gergasi merah dalam aksi persahabatan pra musim di Thailand yang bermula pada hari ini.
Jurulatih Selangor, B. Satiananthan, mengesahkan dalam stadium astro, pemain yang beraksi di posisi pertahanan itu sudah menandatangani kontrak bersama pasukannya bagi musim 2019.
Regan menjadi pemain import kelima yang juga terakhir skuad itu selepas Selangor membawa masuk tiga muka baru dan mengekalkan Rufino Segovia.
Beliau bukanlah nama asing bagi bola sepak Malaysia kerana pernah menyarung jersi Negeri Sembilan ketika dalam saingan Liga Premier 2016. Musim lalu, beliau bermain bersama kelab A-League, Aidelaide United.
“Semalam (9 Januari) dia tidak bermain kerana menarik diri daripada skuad kerana ingin menyertai skuad Selangor.
“Minggu lepas dia sempat beraksi bersama Adelaide United dan kerap beraksi.
“Sebaik sahaja dia menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan, kami bawanya bersama untuk kunjungan pra-musim di Thailand,” kata Satiananthan.
Ini bermakna Regan akan memperkuatkan benteng pertahanan gergasi merah bersama pemain berdarah campuran Vietnam-Republik Czech, Michal Nguyen, yang mengisi kuota pemain import ASEAN.
Selangor juga sebelum ini menyambar pemain dari Brazil yang juga bekas pemain tengah Felcra FC, Endrick Dos Santos, dan bekas pemain Queens Park Rangers (QPR), Antonio German.
“Saya berasa sedikit lega kerana telah menandatangani slot terakhir pemain import, iaitu seorang pertahanan,” katanya.
Di Thailand, Selangor dijadualkan menentang kelab dari divisyen 3 yang dinaik pangkat ke divisyen 2 musim ini iaitu MOF Customs United pada hari ini dan kemudian menentang kelab dari divisyen 1, Chonburi FC pada hari esok.
Satu lagi kelab dari divisyen 2, Thai Honda FC akan bertemu mereka pada 17 Januari ini sebelum pulang ke tanah air.
MOF Customs United dan Thai Honda FC akan berlangsung pada pukul 6 ptg waktu Thailand (7mlm waktu Malaysia) manakala perlawanan menentang Chonburi FC berlangsung pada pukul 4ptg waktu Thailand (5ptg waktu Malaysia).
Malah, perlawanan-perlawanan ini juga akan dibawakan secara langsung di Facebook rasmi FA Selangor MY dan juga Blublack Arena.
Perlawanan tersebut merupakan medan untuk ketua jurulatih, B. Satiananthan menilai corak permainan dan kemampuan pemainnya menentang pasukan dari luar selepas beberapa siri perlawanan percubaan dan ujian kecergasan di Malaysia dengan pasukan-pasukan tempatan.