Jika mahu dibandingkan dengan nama Ifedayo Olesegun, atau pun Khyril Muhymeen, nama Taylor Regan mungkin tidak sepopular dua lagi nama yang dinyatakan itu di dalam pasukan Selangor.
Namun kejayaan mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia 2019, sumbangan Regan tidak boleh dinafikan. Di saingan peringkat kumpulan, Selangor dibolosi enam gol – jumlah paling sedikit di kalangan pasukan yang bersaing di Kumpulan D.
Di peringkat suku akhir menentang Perak tempoh hari, Regan adalah antara pemain yang menonjol – menjadi jeneral di bahagian pertahanan – untuk menyerap segala asakan bertali arus pasukan Perak yang mahu memburu kelebihan jaringan di tempat lawan untuk mara ke peringkat seterusnya.
Dalam satu artikel terbitan Football Nation Radio(FNR), pemain pertahanan berusia 30 tahun ini mengisahkan mengapa Selangor menjadi pilihan, pengalaman di Liga Malaysia, dan bagaimana beliau menebus klausa perpindahan bersama Adelaide United untuk membenarkan beliau menyertai The Red Giants pada awal musim.
Reagan puji pengurusan FAS
Perkara pertama yang terutama bagi Regan ialah beliau dan keluarga sukakan kehidupan di Selangor. Ia bukan hanya kerana skuad The Red Giants berpengkalan di bandaraya seperti Shah Alam, tetapi juga kerana kelab itu sendiri.
“Saya dan keluarga sukakan kehidupan di sini,” ujar Regan kepada FNR.
“Selangor adalah sebuah kelab yang besar, dan mendapat sokongan yang baik. Kami beraksi di dalam stadium yang boleh memuatkan 90,000 penonton pada satu-satu masa.
“Jumlah kehadiran mungkin belum mencecah angka itu lagi musim ini. Namun untuk separuh akhir [Piala Malaysia], saya yakin ia akan mencecah sekurang-kurangnya 50,000 penyokong yang akan hadir.”
Regan turut menaruh keyakinan tinggi terhadap tampuk pengurusan baharu yang diterajui oleh D.Y.T.M Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Ia [Selangor FA] diterajui oleh tampuk pengurusan baharu, dan mereka telah membawa pembaharuan. Mereka amat profesional.
“Sudah tentu saya mahu memenangi trofi kejuaraan untuk mereka [Selangor FA] dan menjadikan ia sebagai sesuatu yang istimewa.”
Kualiti Liga Malaysia
Taylor Regan sebenarnya bukanlah watak yang sangat asing sebelum beliau menyertai Selangor. Pada 2016, beliau pernah beraksi bersama Negeri Sembilan selama semusim, dan turut memegang peranan sebagai kapten pasukan.
Selepas itu, Regan kembali beraksi di Liga -A di Australia bersama Adelaide United. Tindakan beliau yang nekad meninggalkan negaranya semata-mata untuk beraksi bersama Selangor di Liga Malaysia menimbulkan tanda tanya.
Bukan sesuatu yang menhairankan mengapa tindakan Regan dipersoalkan oleh ramai pihak. Apatah lagi dengan persepsi saingan di Liga Malaysia tidak kompetitif seperti saingan di liga-liga lain di luar negara.
Namun perkara itu disanggah oleh Regan. Malah beliau menekankan kualiti permainan di Liga Malaysia sebenarnya banyak dipengaruhi oleh faktor cuaca yang sukar, dan bukan disebabkan kualiti pemain semata-mata.
“Satu perkara mengenai bola sepak di Malaysia ialah kualiti padang yang kurang baik. Ia bukan perkara mudah untuk beraksi dalam keadaan padang sebegini berbanding dengan apa yang kita sering lihat di Liga-A atau di Eropah.
“Adakalanya di sini akan hujan berterusan selama empat jam sebelum sepak mula. Beraksi di padang yang menggunakan rumput jenis cow-grass, adakalanya padang menakung sehingga satu inci air.
“Maka ini menyebabkan satu perlawanan bola sepak menjadi seperti medan pertempuran. Tetapi pemain tempatan di sini amat berbakat.”
Jadi pemain lebih baik
Sebaliknya juga, Regan berpendapat pengalaman beliau di Liga Malaysia telah menjadikan beliau seorang pemain yang lebih baik dari sebelumnya.
“Selepas meninggalkan Newcastle untuk ke Malaysia sebelum kembali untuk menyertai Adelaide, ramai yang terkejut dengan peningkatan prestasi yang saya tampilkan di atas padang.
“Ini kerana di Malaysia, saya diberikan peranan untuk mengawal gerakan penyerang import di setiap perlawanan. Pemain-pemain ini mendapat bayaran yang jauh lebih tinggi berbanding pemain yang beraksi di Liga-A.
“Penyerang dari Johor [JDT] misalnya, bernilai sekitar $1.4 juta. Pemain ini pernah beraksi di tahap tertinggi di Eropah dan Brazil.
“Mungkin ramai yang memandang rendah akan saingan Liga Malaysia. Pada saya (sebagai pemain pertahanan) ia lebih mencabar berbanding berhadapan penyerang-penyerang yang ada di Liga-A.
Penyerang JDT yang dimaksudkan oleh Regan adalah Diogo Luis Santo yang pernah menarik perhatian Chelsea dan Liverpool ketika beraksi bersama Olympiacos satu masa dahulu.
Diogo kemudiannya mencipta nama bersama Buriram United, menjaringkan 101 gol dari 105 penampilan sebelum menyertai JDT pada Januari lalu.
Selangor akan menentang JDT di separuh akhir Piala Malaysia 2019, dan keupayaan Regan mengawal barisan pertahanan akan diuji sekali lagi.
Untuk rekod, Selangor tewas dalam semua dua perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan di saingan Liga Super pada musim ini. Namun bagi Regan, separuh akhir adalah satu cabaran lain yang perlu dihadapi oleh belia bersama Selangor.
Pengalaman dilamar Selangor
Bercerita bagaimana peluang menyertai Selangor tiba, Regan berkata beliau sebenarnya hampir kehilangan peluang untuk beraksi dengan pasukan itu selepas kesilapan yang dilakukkannya.
“Selangor pada mulanya bertanya. Kami beraksi sangat baik menentang Wellington dan menang 3-1. Selangor menghubungi saya dan berkata: ‘Syabas, kami benar-benar mahukan anda. Bermainlah dengan baik pada perlawanan seterusnya, kami akan pastikan ‘semua boss’ menyaksikan perlawanan tersebut, dan kita akan terus berhubung selepas itu.’
“Malangnya sebaliknya yang berlaku pada perlawanan seterusnya. Saya dilayangkan kad merah selepas mencucuk mata pemain lawan, Stefan Mauk.
“If I don’t get the ball, I’ll get you”
Nak tahu lebih lanjut mengenai Taylor Regan, pemain pertahanan Selangor ini? Nantikan update daripada kami di laman ini. Stay tuned!
Pastikan anda tidak lupa, temujanji kita Ahad ini, perlawanan Unifi Liga Super 2019 ketiga Red Giants, Selangor menentang PKNS di Stadium Shah Alam, jam 9 malam.
Hantarkan kata-kata semangat anda kepada Taylor Regan dan juga rakan sepasukan dengan menggunakan hashtag #ReganIsRed & #BeastModeOn
Dapatkan tiket perlawanan dan pas bermusim anda di sini: https://faselangor.my/
#RedGiants
#JomKeStadium
#KitaAdalahSatu
#BeastModeOnPosted by FA Selangor on Thursday, February 14, 2019
“Selangor berpendapat saya gila dan tidak mungkin bagi mereka membawa masuk pemain seperti saya!
“Pada ketika itu saya juga difahamkan mereka mempunyai beberapa calon pemain pertahanan dari Korea dan Jepun untuk mengisi slot import dari Asia – tetapi tiada yang benar-benar menyerlah.
“Akhirnya mereka menghubungi saya sekali lagi dan bekata: ‘Satu lagi peluang. Bermainlah dengan baik.’
“Kami menentang Newcastle dan menang, Segalanya terjawab selepas itu.”
Bayar klausa pelepasan sendiri
Tidak ramai yang mengetahui bahawa Regan membayar klausa pelepasan di dalam kontrak beliau bersama Adelaide United untuk membenarkan dirinya menyertai Selangor.
Dan ia adalah hasil daripada perancangan bijak pemain pertahanan itu sendiri.
“Ketika saya bersama Adeilaide, saya beraksi dalam beberapa perlawanan, dan turut berada di pertandingan Asian Champions League [ACL].
“Saya beraksi dengan agak baik sebelum ditawarkan kontrak baharu selama dua tahun.
“Klausa pelepasan terpulang kepada penilaian oleh kelab – dimana ianya berpotensi mencecah nilai $200,00-300,000.
“Tetapi jika berfikir secara realistik, saya sudah pun memasuki umur 30 tahun. Dan saya bukannya pemain seperti Trent Sainsbury atau Matt Spiranovic. Tidak akan ada kelab sanggup membayar $300,000 untuk Taylor Regan.
“Selepas itu saya melakukan rundingan [bersama Adelaide], dan berkata: ‘Saya mahu kekal bersama Adelaide, tetapi saya mahu nilai yuran perpindahan saya dikurangkan. Ini kerana pasaran pemain seperti saya bukanlah China, Jepun atau Timur Tengah. Saya adalah jenis pemain yang dipasarkan untuk Asia Tenggara – dan kelab di sana tidak membayar yuran perpindahan.’
“Kemudian klausa pelepasan tersebut dikurangkan kepada $50,000. Saya juga sanggup menerima gaji yang lebih rendah sekiranya peluang yang baik muncul.”
Selepas menerima tawaran untuk menyertai Selangor, Regan berkata beliau berusaha untuk keluar dari Adelaide dengan cara baik. Pada ketika itu, Regan hanyalah pemain sokongan di belakang Jordan Elsey dan Michael Jakobsen yang merupakan pilihan utama jurulatih di Adelaide.
“Seperti yang termaktub di dalam kontrak, saya perlu membayar $50,000 untuk meninggalkan Adelaide. Saya membayar jumlah tersebut dengan duit poket sendiri untuk memastikan peluang terus bermain bola sepak,” ujar beliau.
Penutup
Regan adalah antara pemain kesukaan penyokong. Beliau adalah seorang pemimpin di atas padang.
Kontrak asal Reagan berakhir pada November ini. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada pengesahan dari Selangor sama ada Reagan akan dikekalkan untuk saingan pada musim hadapan.
Atau adakah Regan berselindung dan enggan mendahului pengumuman oleh majikannya itu – juga adalah satu kemungkinan – apabila beliau berkata demikian:
“Kontrak saya akan berakhir pada penghujung November, tetapi saya akan berada di sini lebih lama dari itu. Belum ada pengumuman atau kata putus, tetapi saya pasti akan terus berada di Malaysia pada musim 2020.”
Buat Taylor Reagan, selamat maju jaya kami ucapkan.