Tawaran Gaji Lumayan RM102 Juta Setahun Buat Pochettino

Pochettino Newcastle

Seperti yang diketahui, prospek pemilik baharu Newcastle cukup berminat untuk mendapatkan Mauricio Pochettino dan sumber melaporkan beliau ditawarkan dengan gaji tahunan sebanyak £19 juta (RM102 juta) sekiranya bersetuju untuk menjadi pengurus baharu di St. James Park

Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu masih ‘menganggur’ sejak dipecat oleh kelab Utara London itu pada November lalu dan tidak menolak untuk kembali mengurus pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketika ini Steve Bruce masih kekal sebagai pengurus dan berkemungkinan sehingga tamat saingan kempen musim ini. Walaupun masih tidak jelas apakah nasibnya di kelab itu, namun kebanyakan pemerhati bola sepak menjangkakan beliau akan disingkirkan.

Setakat ini masih belum ada sebarang keputusan daripada Pochettino memandangkan urusan pemngambilalihan kelab oleh konsortium dari Arab Saudi dari pemilik kelab, Mike Ashley bernilai £300 juta itu masih belum selesai.

Bakal pemilik baharu Newcastle itu tertarik dengan projek perubahan yang dibuat oleh Pochettino sepanjang lima tahun berkhidmat di Spurs sehingga membawa pasukan tersebut melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2019.

Merea percaya jurulatih dari Argentina itu adalah calon terbaik untuk melakukan transformasi di Newcastle dan menjadikan ianya salah satu kelab terbaik di Eropah dalam masa lima tahun akan datang.

Sekiranya usaha mendapatkan Pochettino gagal, calon lain adalah bekas pengurus Newcastle sendiri, Rafael Benitez yang membantu pasukan tersebut menjuarai Liga Kejuaraan dan dipromosi ke saingan liga utama pada 2016.

Jurulatih Sepanyol itu yang kini sedang mengurus kelab Liga Super China (CSL), Dalian Yifang sebelum ini pernah mendedahkan hasratnya untuk kembali menjadi pengurus di EPL.

Sekiranya Pochettino menerima tawaran tersebut, ia menjadikan beliau pengurus yang menerima gaji kedua tertinggi di EPL tidak jauh di belakang Pep Guardiola yang menerima kira-kira £20 juta setahun.

Lima bulan selepas meninggalkan Tottenham Hotspur, Pochettino dan staf kejurulatihannya yang disingkirkan masih menerima gajinya yang dilaporkan bernilai £8.5 juta setahun sebagai sebahagian daripada pampasan.

Kredit Foto: Indikaila News

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Pochettino dan Newcastle United:

Leave a Reply