Tatsuya Ito: Budak Ajaib Samurai Biru & Generasi Baru Harapan Hamburg SV

Siapakah gerangannya pemuda bernama Tatsuya Ito? Inilah soalan yang menjadi tanda tanya keseluruhan Volksparkstadion ketika perlawanan derbi utara di antara Hamburger SV dan SV Werder Bremen pada Oktober tahun lalu.

Berada di dalam kesebelasan utama Hamburger SV ialah seorang pemuda Asia berusia 20 tahun. Dan beliau adalah senjata ajaib HSV di posisi sayap kiri.

Aksi pemuda; secara spesifiknya dari Jepun ini melakukan larian sambil memberi masalah kepada bahagian pertahanan Bremen adalah memukau.

Tatsuyo Ito mudah menewaskan lawan dalam situasi satu lawan satu, menghasilkan peluang demi peluang buat rakan sepasukan, dan menyebabkan lawan sekadar terpegun ketika melakukan hadangan.

Ito pantas tawan hati HSV

Aksi Tatsuyo Ito dalam perlawanan tersebut adalah sesuatu yang sudah lama mereka tidak saksikan di Hamburg SV (HSV).

“Semua orang di sini berpendapat aksi Ito adalah hebat. Sebelum perlawanan ini, anda akan dianggap gila kerana memulakan seorang pemain muda di dalam kesebelasan utama di kelab ini.”

(Photo by Koji Watanabe/Getty Images)

“Namun anda tidak akan tahu bagaimana mereka memberi reaksi sehingga mereka diberikan peluang,” ujar Markus Gidol selepas perlawanan tersebut.

Dua minggu sebelum itu, Ito hanya beraksi di hadapan 200 orang penonton untuk pasukan simpanan Bundesliga itu di kancah saingan Regionalliga.

Di dalam perlawanan minggu ke-6 saingan Budesliga (seminggu sebelum perlawanan menentang Werder Bremen), Ito diberikan peluang untuk melakukan penampilan pertama. Namun demikian, pemain berusia 20 tahun itu hanya beraksi selama 53 minit sebelum dikeluarkan akibat kekejangan.

(Photo by Martin Rose/Bongarts/Getty Images)

Namun demikian, ianya tidak pernah mengubah hakikat bahawa Ito adalah harapan baharu buat HSV.

“Setiap sentuhan oleh Ito, turut menyentuh hati setiap penyokong yang hadir,” ujar Gisdol.

Buruan Milan dan City

Bakat Ito dikesan oleh HSV pada 2014 dalam satu kejohanan peringkat umur di Dubai.

Walaupun turut mendapat perhatian daripada gergasi eropah lain seperti Manchester City dan Inter Milan, bakat muda ini mahu menjejak langkah beberapa pemain daripada Jepun seperti Shinji Kagawa, Hajime Hosogai, Gotoku Sakai, dan ramai lagi yang memilih Jerman sebagai destinasi meneruskan karier di peringkat tertinggi.

(Photo by Koji Watanabe/Getty Images)

Ito pada mulanya menyertai pasukan remaja HSV sebelum beraksi bersama skuad B-21 kelab Jerman tersebut. Malah Ito mungkin beraksi di Bundesliga lebih awal, jika tidak disebabkan oleh kecederaan yang dialaminya sebelum itu.

Jangan dipandang rendah pemain ini walaupun bersaiz tubuh kecil. Mengikut maklumat daripada laman sesawang rasmi HSV, Ito adalah pemain terkecil yang beraksi di Bundesliga dengan ketinggian 163cm.

(Photo by Martin Rose/Bongarts/Getty Images)

Ya. Sudah tentu perkara ini dinafikan sendiri oleh Ito yang mendakwa dirinya berketinggian 168cm, tetapi itu hanya selepas Ito memakai kasut but dengan stud tinggi.

Apa kata rakan sepasukan?

Kehadiran Ito di dalam skuad utama HSV turut membuatkan pemain-pemain sedia ada di dalam skuad utama berasa kagum akan kebolehan pemain ini.

“Dia sangat tangkas, larian beserta kebolehan teknikalnya mengujakan. Dan Ito juga sangat pantas dengan bola,” ujar rakan penyerang Andre Hahn.

Christian Mathenia yang merupakan penjaga gol HSV berkata: “Walaupun di dalam latihan, anda boleh tahu Ito adalah bakat istimewa. Maka tidak hairanlah aksi Ito turut mendapat tepukan hormat (standing ovation) dari kalangan penyokong.”

HSV bukanlah pasukan yang cenderung memberi peluang kepada pemain muda daripada akademi mereka sendiri selama bertahun lamanya.

Aksi Ito baru-baru ini ketika membantu HSV mengejutkan Schalke, pantas menjadikan anak muda ini fenomena baharu di Volksparkstadion.

Pemain-pemain seperti Jonathan Tah (Bayer Leverkusen) dan Sidney Sam (VfL Bochum), adalah contoh antara pemain yang terpaksa meninggalkan HSV dan menyertai kelab lain untuk mendapatkan peluang beraksi di dalam pasukan utama.

“Jika anda merupakan sebuah kelab yang tidak mempunyai kuasa kewangan, cara terbaik ialah dengan melihat kepada bakat muda yang anda miliki di dalam sistem.” ujar Gisdol.

Malapetaka buat Hamburg SV

Walaupun dengan pemain seperti Ito, HSV langsung tidak mencerminkan gambaran sebagai salah sebuah kuasa besar yang pernah mendominasi bola sepak Jerman satu ketika dahulu.

Dianggap sebagai salah sebuah kelab yang kaya dengan sejarah dan merupakan antara pasukan dengan kedudukan kewangan terkukuh, hari ini HSV bergelut untuk mengelakkan diri daripada tersingkir dari Bundesliga- sejak saingan tersebut diwujudkan pada 1963.

(Photo credit should read ULI DECK/AFP/GettyImages)

Musim 2017/18 adalah malapetaka yang mereka ingin elakkan. Setelah memecat jurulatih, Markus Gidol pada Januari lalu, Hamburg tidak mencatatkan kemenangan sepanjang tahun ini, sehinggalah pada penghujung minggu lalu apabila mereka mengejutkan Schalke.

Berada di kedudukan ke-17, dan berjarak tujuh mata untuk menyelamatkan diri dari tersingkir, HSV memerlukan lebih daripada nasib untuk memastikan mereka tidak tersingkir ke divisyen bawahan pada musim hadapan.

Bakat baru HSV

Ia mungkin agak terlambat untuk HSV menyedari betapa pentingnya bakat muda di dalam proses mengekalkan tahap kompetitif sesebuah pasukan bola sepak.

Namun apa pun hasil akhir saingan mereka pada penghujung musim ini, HSV sedia untuk bangkit dengan barisan pemain muda yang lebih segar.

(Photo by Stuart Franklin/Bongarts/Getty Images)

Turut berada di dalam senarai pemain HSV, ialah penyerang berusia 17 tahun, Jann-Fiete Arp (gambar atas) yang dianggap sebagai salah seorang penyerang berpotensi di Eropah.

Seperti Ito, Arp turut diberikan penampilan pertama ketika perlawanan menentang Bremen. Sehingga kini, Arp masih terikat bersama HSV sehingga 2019, dan turut menarik perhatian daripada Chelsea.

(Photo by TF-Images/TF-Images via Getty Images)

Sudah tentu HSV perlu melakukan sesuatu untuk memastikan aset masa depan milik mereka ini terus kekal di Volksparkstadion melangkaui 2019.

Selain daripada Arp, HSV turut memiliki penyerang berusia 20 tahun, Törles Knöll dan pemain tengah berusia 18 tahun Vasilijie Janjicic (gambar atas) yang sentiasa dahaga untuk membuktikan keupayaan diri di pentas tertinggi bola sepak Jerman.

COPENHAGEN/DENMARK _ German boys member of Ferman Walddorer SV Hamburg football visitng Copenhagen 30 July 2012 (Photo by Francis Dean / Dean Pictures) (Photo by Francis Dean/Corbis via Getty Images)

“Kami mengurangkan jumlah pemain sedia ada, untuk memberikan peluang kepada lebih ramai bakat muda,” ujar Pengarah Sukan HSV, Jens Todt mengulas barisan pelapis yang terdapat di kelab tersebut.

Jelas sekali HSV sedang menukar falsafah dan doktrin bola sepak milik mereka. Sebelum ini HSV cenderung mendapatkan pemain dari luar dengan harga yang mahal, namun gagal memberikan sumbangan yang diharapkan kepada pasukan.

Rumusan

Di salah satu penjuru di Volksparkstadion, terpapar satu jam digital gergasi yang tidak pernah berhenti menghitung masa.

Ia mengingatkan sejarah silam kelab berkenaan bermula dari tarikh 24 Ogos 1963- ketika pertama kali Bundesliga diperkenalkan dan kejayaan mereka meraih 6 kejuaraan domestik dati tempoh itu, sehingga ke hari ini.

Kali terakhir Hamburg SV bergelar juara Bundesliga ialah pada musim 1982/83, setelah turut mendominasi bola sepak Jerman pada musim sebelum itu.

(Photo credit should read JOHN MACDOUGALL/AFP/Getty Images)

Bola sepak hari ini telah mengalami revolusi. Kuasa kewangan tidak akan kekal. Apatah lagi untuk menjamin kejayaan pada hari esok.

Apapun nasib HSV pada musim ini, mereka mungkin boleh menarik nafas lega kerana memiliki sistem akademi dan akar umbi yang mampu memberikan hasil dengan membentuk pemain seperti Ito, Arp, Knöll dan Janjicic.

Kata kunci kepada kelangsungan sesebuah kelab bola sepak pada hari ini ialah pembangunan. Dan di situlah sewajarnya pelaburan dilakukan bagi mereka yang bijaksana.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN