Kemungkinan Tangguh Pembinaan Stadium Baru, Apa Yang Ditakutkan Bournemouth?

Kelab kerdil yang sudah tiga musim bermain di pentas tertinggi liga Inggeris, AFC Bournemouth hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi mereka mengenai perihal stadium baru mereka yang dijangkakan siap pada tahun 2020.

Menurut kenyataan tersebut, lembaga pengarah kelab bukan sahaja tidak mempunyai rangka masa untuk stadium itu siap, malah pelan pembangunan stadium baru tersebut juga berhadapan kemungkinan terpaksa ditangguhkan kerana risiko keadaan kewangan kelab yang tidak menentu, biarpun kelab kecil tersebut mencatatkan keuntungan besar sejak beberapa musim yang lalu.

Sudah Lama Menunggu

Penyokong Bournemouth bagaimanapun sedang memikirkan kemungkinan yang stadium baru mereka yang bakal dibina di King’s Park itu mungkin ditangguh, biarpun lembaga pengarah kelab menyatakan yang mereka tetap optimistik untuk berpindah ke stadium baru menjelang musim panas tahun 2020.

Pada bulan Disember 2016, kelab telah mengumumkan pelan pembinaan stadium baru milik Bournemouth sendiri kerana Vitality Stadium yang mereka gunakan sekarang adalah sebuah stadium pinjaman.

Kapasitinya pula adalah kecil jika dibandingkan dengan kelab EPL yang lain- cuma 11,450; hanya 1/3 dari jumlah kapasiti penonton Stadium Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, Kelantan (30,000)!

Malah, pada bulan Mei yang lalu, pengurus dan bekas pemain mereka, Eddie Howe turut menegaskan, satu-satunya cara bagi mereka benar-benar merasai kelebihan bermain di EPL adalah dengan mempunyai stadium milik mereka sendiri.

Perkara ini ternyata benar apabila untuk musim 2016-2017, pendapatan kelab hasil jualan tiket adalah cuma 5.2 juta pound, hanya 4% dari jumlah keuntungan keseluruhan kelab.

Untuk perbandingan, kelab Manchester United yang mempunyai kapasiti stadium terbesar di UK dengan 76,000 tempat duduk memperoleh pendapatan hampir 112 juta pound untuk tempoh yang sama.

Bagaimanapun, pendapatan terbesar Bournemouth pada musim tersebut adalah hasil dari hak penyiaran TV yang berharga 124 juta pound sterling.

The Cherries Sukar Bersaing Di Liga Perdana Inggeris

“Ia sukar untuk kami menarik pemain baru untuk sertai kelab kami dengan keadaan stadium yang sekarang,” jelas Eddie Howe, pengurus dan juga bekas pemain pasukan Bournemouth.

“Padang latihan kami pun boleh tahan cantiknya, tapi saiznya pula terlalu kecil dan tidak banyak ruang untuk kami gunakan. Itu satu lagi masalah kami.”

“Kami memang fokus pada pasukan dan apa yang kami ada, tapi untuk memiliki infrastuktur kelab yang baik itu satu kewajiban.”

“Ia akan banyak membantu kami kami dalam masa 10, 12, 20, malah 30 tahun yang akan datang, jadi saya rasa kelab memang perlu utamakan pembangunan infrastuktur ini,” jelas Howe lagi.

Kelab Gunakan Dana Untuk Bina Kemudahan Latihan Yang Lebih Baik

Menyedari kepentingan memiliki sebuah pusat latihan yang baik, kelab yang berpengkalan di Dorset itu telah menunujukkan komitmen mereka dengan memperuntukan dana untuk menambah baik kemudahan latihan kelab.

Ini terbukti apabila mereka membeli tanah lapang, bekas sebuah padang golf berhampiran stadium mereka untuk mendirikan pusat latihan bertaraf dunia yang bakal menelan belanja jutaan pound dan bakal siap dalam masa beberapa tahun.

Masih Rasa Tertipu

Biarpun telah menunjukkan komitmen untuk berbelanja, terdapat sesetengah penyokong The Cherries masih lagi tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan kelab.

Hal ini kerana, sejak pengumuman stadium baru bakal dibina, penyokong Bournemouth sering turun memenuhi stadium di setiap perlawanan dan membelanjakan wang mereka kepada kelab bagi memberikan lebih keuntungan kepada dana kelab.

Jadi, apabila berita yang tidak berapa enak ini diterbitkan, sebahagian peminat Bournemouth naik berang dan merasakan diri mereka telah tertipu dengan kelab tersebut.

Ada juga penyokong The Cherries yang mahukan pelan itu dirombak dan diteliti semula dengan mencadangkan kelab membeli terus stadium yang mereka sewa sekarang dan menambah baik kemudahan yang ada serta menambahkan kapasiti tempat duduk.

Mengapa Bournemouth Takut Untuk Miliki Stadium Baru Sendiri?

Memiliki sebuah stadium sendiri bagi sesebuah kelab itu bolehlah dikira sebagai sebuah pencapaian, apatah lagi jika stadium tersebut merupakan sebuah stadium baru.

Namun, pembinaan stadium baru bakal memakan perbelanjaan yang lebih tinggi, lebih memakan masa dan lebih berisiko -dari proses pelobian, pembelian tanah, penstukturan kawasan, pemilikan permit, urusan reka bentuk dan bermacam hal yang lain lagi sebelum pembinaan sebenar boleh dimulakan.

Jika Bournemouth mampu mengekalkan kedudukan mereka untuk bermain di Liga Perdana Inggeris, mereka sebenarnya tiada masalah untuk membina stadium baru.

Mereka juga boleh membuat pinjaman dari pihak bank atau mencari tajaan syarikat besar seperti yang dilakukan Arsenal jika mereka tidak mempunyai dana yang cukup.

Cuma, bagaimana jika sewaktu stadium tersebut sedang rancak dibina, pasukan The Cherries tersingkir dari saingan Liga Perdana Inggeris?

Mereka bukan sahaja terpaksa melupakan wang hak penyiaran TV yang lumayan, mereka juga mungkin terpaksa menjual pemain-pemain terbaik mereka kepada kelab lain dan menyebabkan mereka semakin sukar untuk naik semua ke divisyen tertinggi liga England.

Harus diingat, pasukan besar seperti Arsenal juga terpaksa berjimat cermat dalam urusan pembelian pemain sewaktu mereka sedang menyiapkan The Emirates- perkara yang sama turut berlaku kepada pasukan Spurs pada musim ini, inikan pula keab kerdil seperti Bournemouth.

Ukur Baju Di Badan Sendiri

Bagi penulis, kerisauan yang digariskan oleh lembaga pengarah kelab ada benarnya kerana jika Bournemouth tersingkir dari Liga Perdana Inggeris sewaktu stadium mereka sedang rancak didirikan, ia mampu meletakkan kelab tersebut diambang muflis.

Harus diingat yang pasukan The Cherries ini pernah beberapa kali diambang muflis kerana masalah kewangan dan cukai yang tidak terbayar beberapa tahun yang lalu- sehinggakan pemain-pemain mereka terpaksa menadah baldi meminta derma kilat dan membuat skim Cherryshare 1 dan 2 demi memastikan kelab mereka terus hidup.

Anda boleh baca artikel mengenai perkara tersebut dalam pautan ini.

Stay strong, Cherries!

Sumber kajian: BBC, BBC 2, Wikipedia, Mirror, Bournemouth

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN