Real Madrid dilaporkan menamatkan pemburuan Eden Hazard selepas Chelsea berkeras meminta £200 juta untuk pemain tersebut.
Pada beberapa minggu lalu, Barcelona ditolak bidaan mereka kerana tidak mencapai harga diminta Chelsea. Chelsea meminta £200 juta daripada Barcelona. Lantas Barcelona melabel harga Hazard itu tidak munasabah.
Real Madrid kemudian melancarkan bidaan mereka dilaporkan sekitar £140 juta – £150 juta. Real Madrid cuba menggunakan spekulasi kemungkinan Hazard tak akan menandatangani kontrak baru di Chelsea.
Mereka juga memberikan jaminan bahawa Hazard akan menjadi pemain utama pasukan mereka selepas pemergian Cristiano Ronaldo. Hazard akan menjadi pembelian yang akan mengisi kekosongan secara taktikal.
Justeru mereka merasakan bidaan mereka itu sangat tinggi untuk menarik perhatian Chelsea yang sebelum itu memang berkeras tak mahu melepaskan Hazard kecuali dengan nilai £200 juta.
Harga tersebut lebih tinggi daripada angka yang dibayar oleh PSG untuk mendapatkan Neymar (£198 juta).
Sebelum ini, Hazard menolak lanjutan kontrak dengan tawaran gaji £300,000 seminggu oleh Chelsea. Kontrak semasa Hazard akan berakhir pada 2020.
Oleh itu, Real Madrid kini sudah bersedia untuk memberikan kepercayaan mereka kepada Isco untuk menjadi pemain penting pada musim hadapan.
Maurizio Sarri pada masa yang sama dikatakan dalam pertimbangan untuk memberikan Hazard lilitan kapten sepenuh masa di Chelsea.
Hazard menjadi kapten Belgium dalam beberapa perlawanan pada Piala Dunia 2018 dan banyak perlawanan pada pusingan kelayakan.
Maurizio Sarri akan berbincang dengan Marina Granovskaia untuk transaksi beberapa pemain lagi. Ini termasuk cuba mendapatkan Higuain, Rugani dan juga Bernard.
Sarri juga akan membincangkan masa depan Courtois dan Willian yang dikaitkan dengan perpindahan keluar daripada Chelsea selepas beberapa kelab berminat mendapatkan mereka.