Tan Sri Annuar Musa yang merupakan bekas Presiden dan juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebentar tadi memuat naik satu kenyataan di laman media sosial Facebook beliau mengenai perancangan membina sebuah akdemi bola sepak di Kelantan.
Walaupun sudah tidak mempunyai sebarang kaitan secara langsung dengan KAFA, usaha yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa wajar dipuji, terutama dalam mengambil inisiatif sendiri untuk memajukan bola sepak Kelantan dan negara amnya.
Akademi bola sepak yang dirancang oleh beliau dikatakan memiliki sebuah akdemi pusat beserta 8 buah cawangan lain meliputi kawasan di seluruh Pasir Puteh, Kota Bahru, Kubang Krian dan Ketereh antaranya.
500 pelatih akan dipilih pada peringkat permulaan di kalangan pemain bola sepak seawal usia 10 tahun, dan 2 buah pusat elit turut akan dibina untuk menempatkan pelatih kategori umur 14 tahun dan juga 15 tahun.
Tan Sri Annuar Musa turut menjelaskan seramai 24 jurulatih akan diperlukan dari kalangan jurulatih tempatan untuk membantu 2 lagi jurulatih asing yang akan dibawa masuk untuk mengendalikan akademi bola sepak berkenaan.
Beliau turut menggariskan pembinaan dan kos untuk menyediakan akademi berkenaan akan turut disumbangkan oleh beberapa syarikat yang akan tampil sebagai penaja.
Sehubungan dengan itu, Tan Sri Annuar Musa dijadualkan akan melawat beberapa akademi bola sepak di luar negara untuk mendapatkan input berkaitan sebelum mengambil keputusan untuk memuktamadkan model akademi dan corak kejurulatihan yang sesuai untuk digunapakai nanti.
Melalui muat turun di laman Facebook milik beliau itu juga, Tan Sri Annuar Musa turut mengesahkan akan membuat pengumuman rasmi mengenai senarai jurulatih dan pelatih dalam masa terdekat selepas segala perkara berkaitan dimuktamadkan.
Langkah Tan Sri Annuar Musa untuk membantu bola sepak Kelantan dengan pembinaan akademi bola sepak seperti ini wakar dipuji. Malah ia seharusnya sudah lama dilakukan.
Seperti kata pepatah Inggeris, “better late than never”, pembinaan akademi sebegini adalah salah satu projek proaktif dalam membantu membangunkan lebih ramai bakat muda secara menyeluruh.
Sudah tentu kita mengharapkan lebih ramai usahawan atau ahli politik seperti Tan Sri Annuar Musa tampil untuk membantu menbangunkan bola sepak di seluruh negara.
Semoga projek ini dapat direalisasikan dan mampu membantu membangunkan bola sepak di negeri Kelantan dan Malaysia secara amnya.