Quantcast

BERITA

Tan Cheng Hoe: “Ya, Luqman Hakim Sangat Mengujakan, Namun…”

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe miliki alasan sendiri untuk mengenepikan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin daripada skuad kebangsaan yang bakal bertarung di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sebilangan besar penyokong berpendapat dan sudah tidak sabar untuk melihat gandingan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Luqman Hakim untuk skuad kebangsaan selepas pemain berusia 17 tahun itu cemerlang ketika bersama skuad B-16 dan kini B-18 negara.

Malah akhbar The New Straits Times turut mencadangkan agar gandingan ‘SAL’ (Safawi, Akhyar dan Luqman Hakim) digunakan untuk kelayakan Piala Dunia yang bakal bermula September.

Ini kerana, gandingan ini dikatakan mampu untuk memberi mimpi ngeri buat lawan dengan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid beraksi bersama di Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Luqman Hakim pula adalah pemenang kasut emas Kejohanan AFF B-16 pada 2018.

“Saya lebih suka untuk dia (Luqman Hakim) mula bermain bersama skuad B-23 terlebih dahulu. Dan jika prestasinya baik di sana (skuad B-23), kita akan senaraikannya (skuad senior),” ujar Tan Cheng Hoe yang dipetik berkata kepada The New Straits Times.

“Buat masa ini dia masih perlu didedahkan dengan pertandingan-pertandingan peringkat B-23 terlebih dahulu. Dan kita masih boleh panggil dia untuk sertai latihan skuad kebangsaan, jika perlu. Tetapi buat masa ini, dia perlu fokus satu demi satu,” ulasnya.

Bagi Tan Cheng Hoe, kemampuan yang dimiliki pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu masih boleh ditingkatkan. Namun, beliau memang mengagumi bakat yang dimiliki penyerang muda itu.

“Luqman memiliki kemampuan teknikal yang baik, penyudahnya cukup tajam dan dia sangat tenang apabila berada di depan gol.

“Dia sememangnya memiliki masa depan cerah dan berpotensi untuk berada dalam skuad kebangsaan. Dia harus bekerja keras dan tidak memikirkan yang dia telah punyai segalanya kerana ini hanyalah langkah pertamanya (dalambola sepak),” tambahnya.

“Ya, dia sangat mengujakan. Anda dapat lihat dia miliki kualiti dan sentuhan baik untuk meledak gol. Sangat penting untuk penyerang memiliki aspek tersebut. Buat masa ini, secara teknikalnya, dia sudah menjangkaui rakan sebayanya,” ujar Tan Cheng Hoe.