Tan Cheng Hoe berharap para anak buahnya kuat untuk berhadapan dengan kritikan. Serta mampu mengambil kritikan itu sebagai satu motivasi.
Skuad Harimau Malaya dikritik hebat selepas tewas 0-1 di tangan Singapura dalam aksi Piala AIRMARINE 2019.
Tan Cheng Hoe juga berharap pemain tidak mudah ‘koyak’ dengan kritikan di media sosial. Beliau dengan nada tegas berkata: “Jika tidak tahan mendengar kritikan, sila tinggalkan media sosial.”
Tan Cheng Hoe mengakui beliau mendengar akan kritikan teruk ke atas pemain seperti Hazwan Bakri dan juga Zaquan Adha. Namun beliau masih percayakan kesemua pemain-pemain yang berada di dalam skuad.
Pengendali skuad kebangsaan itu optimis Malaysia mempunyai kualiti yang baik untuk menang dalam aksi menentang Afghanistan. Beliau berharap Harimau Malaya berjaya mengembalikan prestasi Piala AFF yang lalu.
Dipetik daripada Utusan Malaysia, Tan Cheng Hoe berkata: “Jika pemain dapat memberi prestasi seperti tahun lepas (Piala AFF 2018), kita mampu memberi saingan dan mencatat keputusan positif.”
“Saya tahu semua orang kecewa apabila kalah kepada Singapura tetapi perkara itu sudah berlalu dan kita perlu pandang ke depan.”
“Pemain juga harus menjadikan kritikan negatif dalam media sosial sebagai motivasi. Saya harap pemain dapat pulih dan kembali bersemangat serta dapat memberi aksi terbaik dalam aksi menentang Afghanistan.”
Malaysia akan berhadapan dengan Afghanistan untuk penentuan tempat ke-3 dan ke-4 Piala AIRMARINE 2019.