Pengendali utama Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui beliau tidak sabar untuk memulakan musim baharu bersama The Red Giants bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) serta di pentas Asia.
Memasuki musim ketiga bersama Selangor, Cheng Hoe jelas semakin selesa mengatur taktikal berguna buat pasukan tersebut dengan beliau turut diperkuatkan oleh ramai pemain berkualiti.
Kejayaan paling menarik pastinya pada musim lalu, apabila bekas pengendali Kedah Darul Aman (Kedah) itu mengesahkan Selangor selaku naib juara Liga Super 2023 serta melayakkan diri ke saingan AFC Champions League 2 (ACL2).
Untuk saingan hadapan, pastinya pelbagai persiapan dilakukan beliau bersama pengurusan kelab untuk memastikan momentum Selangor terus berada dalam keadaan menyakinkan di peringkat domestik dan Asia.
Menerusi perkongsian laman Selangor, pasukan tersebut bakal menghadapi saingan pramusim ini di luar negara tanpa menyatakan lokasi sebenar sekali gus memberi tanda tanya dalam kalangan peminat.
Terdahulu, Selangor menjadi antara pasukan terawal memulakan sesi latihan mereka, selepas ianya dilakukan sejak 5 Februari lalu lagi dengan turut melibatkan pemain import baharu pasukan tersebut.
Tujuan latihan awal dimulakan Selangor adalah untuk kembali memberi kecergasan buat para pemain yang bercuti sebelum itu serta tampil bersedia untuk menghadapi segalanya termasuk siri persahabatan akan tiba.
Selaku pengendali utama, Cheng Hoe jelas sangat gembira melihat situasi positif dalam kalangan pemain di bilik persalinan ketika ini yang mampu menaikkan motivasi pasukan.
“Sesi latihan kami setakat ini berada di tahap yang baik. Saya lihat pemain sangat bermotivasi tinggi dan ia menghidupkan suasana yang baik dalam pasukan.
“Pada masa yang sama kami barisan jurulatih telah merancang dengan teliti berkenaan jadual latihan agar kecergasan mereka sentiasa berada di tahap yang terbaik untuk menempuhi sesi pramusim yang agak panjang kali ini.
“Malah pemain baru yang masuk seperti Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Nooa Laine dan Azim Al Amin juga telah berlatih dengan baik. Mereka tidak mengambil masa yang lama untuk gel bersama rakan pasukan yang lain.
Ini merupakan petanda yang di mana bekerjasama antara satu sama lain dapat dilihat di antara mereka. Saya tidak sabar untuk memulakan musim ini,” kata Cheng Hoe menerusi perkongsian laman berkenaan.
Pada masa sama, para pemain Selangor yang mengikuti kem kebangsaan lalu masih diberikan cuti rehat serta bakal melaporkan diri pada minggu hadapan bersama rakan sepasukan lain.
Aksi pramusim di luar negara bakal berlangsung pada awal bulan Mac sebelum ada pemain bawah 23 (B-23) dipanggil untuk persiapan bagi kejohanan Piala Asia B23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada bulan April nanti.