Quantcast

BERITA

Tan Cheng Hoe: Saya Masih Mencari Gandingan Tengah Terbaik Harimau Malaya

Tajikistan mampu menghadirkan cabaran baik buat skuad negara dan Malaysia mampu meraih pengalaman berharga pada aksi ini menurut pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe dalam sidang media pra perlawanan persahabatan Malaysia- Tajikistan.

Tajikistan berkedudukan ke-116 dunia dan menurutnya lagi, lawan pada malam ini memiliki permainan yang berkualiti dan memiliki intensiti permainan tinggi yang bakal menguji barisan pemainnya.

“Menentang pasukan yang berkedudukan ranking dunia lebih baik berbanding kita pastinya akan membantu pemain-pemain kita.

“Kita sukar untuk mendapat perlawanan sebegini jadi mereka perlu rebut peluang ini untuk membaiki skil dan teknik serta merasai aksi berintensiti tinggi [berdepan Tajikistan],” ujar Tan Cheng Hoe.

Tan Cheng Hoe turut memaklumkan barisan kejurulatihan dan pemain sudah melihat permainan Tajikistan dalam perlawanan kelayakan menentang tiga pasukan dalam aksi Kumpulan F.

“Kita dapat lihat kualiti, intensiti dan fizikal mereka dalam aksi kelayakan. Mereka juga miliki kepantasan permainan dan inilah aspek yang pemain saya dapat belajar melalui perlawanan ini.

“Mereka akan belajar bermain dalam satu unit, menyerang dan bertahan bersama-sama sebagai satu pasukan,” tambahnya lagi.

Selain itu, Tan Cheng Hoe turut mahu membuat eksperimen di jentera tengah selepas menyaksikan skuadnya tewas tipis 0-1 kepada Vietnam dalam aksi ketiga, Kumpulan G, pada bulan lalu.

Ini kerana baginya, dia masih mencari kombinasi dan formula terbaik di jentera tengah bagi menguatkan Harimau Malaya.

“Sebagai jurulatih, saya masih mencari kesebelasan terbaik untuk skuad negara disamping memberi peluang kepada pemain lain.

“Afiq [Fazail] dan Baddrol [Bakhtiar] mampu memberikan sesuatu buat skuad negara selepas jentera tengah gagal beraksi baik menentang Vietnam,” jelas pengendali berusia 51 tahun itu.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu Thailand pada 14 November dan Indonesia (19 November) untuk aksi Kumpulan G dengan kedua-duanya akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk aksi kelayakan ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-4 kumpulan selepas tiga perlawanan dan perlu memanfaatkan aksi di halaman sendiri pada bulan ini bagi memperbaiki kedudukan.

Kredit Featured Image: FAM