Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) telah menunda saingan Piala AFF ke tahun depan dan ianya disambut dengan nada positif pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe.
Piala AFF dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini, namun dengan penularan pandemik COVID-19, ia telah merencat aktiviti bola sepak di seluruh dunia, malah beberapa kejohanan besar turut ditunda seperti Kejohanan Olimpik 2020.
Penangguhan Piala AFF 2020
Majoriti aktiviti bola sepak di seluruh dunia seperti perjalanan liga telah tertangguh sejak daripada bulan Februari yang lalu. Di Malaysia, secara tepat, ia tertangguh sejak 13 Mac yang lalu selepas saingan liga baru memasuki minggu yang ke-4.
Mesyuarat pada Khamis lalu telah mengambil ketetapan yang kejohanan dwi-tahunan itu akan ditunda ke satu tarikh yang belum ditentukan tetapi ia akan dilangsungkan pada tahun hadapan walaupun majoriti negara mahu ianya dibatalkan sahaja.
Menurut kenyataan Presiden AFF, Khiev Sameth, pihaknya sentiasa memantau perkembangan penularan pandemik dan mengikuti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak-pihak bertanggungjawab sebelum membuat keputusan.
“Pandemik ini terus memberi cabaran besar daripada sudut kesihatan, sosial dan ekonomi kepada kita. Keutamaan AFF adalah mengenai kesihatan dan keselamatan seluruh warga bola sepak dalam mengurangkan impak pandemik ini,” jelasnya.
Tambahnya, “Dengan risiko peningkatan penularan COVID-19, pihak AFF merasakan yang Piala AFF 2020 tidak akan dapat dijalankan dalam suasana yang selamat.”
‘Keputusan yang bagus’
“Bagi saya ia keputusan yang bagus untuk pasukan kebangsaan kerana dapat bagi tumpuan kepada kelayakan Piala Dunia pada Oktober dan November nanti,” ungkap pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengenai penundaan tersebut.
Bercakap kepada Arena Metro, Cheng Hoe berpendapat yang para pemain pasti berdepan tekanan dengan latihan yang baru kembali boleh dijalankan selepas rehat yang panjang dan dengan liga yang baru akan kembali dilangsungkan semula.
“Kalau AFF diteruskan, [ia] bakal menyaksikan pasukan negara perlu mengharungi perlawanan pada Oktober hingga Disember, kemungkinan besar akan beri tekanan tinggi kepada pemain yang ketika ini belum cukup bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Sudah tentu penundaan itu bukan 100 peratus perkara yang baik kerana tahun depan pemain yang terlibat dengan pasukan negara akan melalui jadual perlawanan yang padat,” tambahnya lagi yang akan bersaing di kejohanan AFF kedua buat dirinya.
Ada kesan gaji tertunggak?
Bercakap pula mengenai kesan gaji tertunggak yang dilalui beberapa pasukan di Liga Malaysia terhadap skuad kebangsaan, Cheng Hoe menolak kenyataan yang para pemain akan membawa masalah itu apabila memasuki ke kem skuad kebangsaan.
“Mereka masih positif. Mereka tahu yang skuad kebangsaan sedang melalui tahun yang sangat baik di peringkat antarabangsa dan mereka mahu menjadi sebahagian daripada skuad itu,” jelas Cheng Hoe mengenai isu gaji tertunggak pemain.
“Apa sahaja isu yang mereka hadapi [di peringkat kelab], mereka kekal positif dengan skuad kebangsaan. Apabila liga kembali bersambung, saya yakin mereka akan kembali kepada situasi seperti sediakala,” memetik kenyataannya di portal The Star.
Namun, tidak dinafikan sedikit sebanyak, moral pemain terjejas dengan isu tersebut. Siapa yang mahu memberikan aksi terbaik dengan gaji masih tertunggak berbulan lamanya? Ini akan memberi kesan terhadap mental dan keadaan fizikal mereka.
Penutup
Misi meraih kejuaraan AFF juga sama penting kerana sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 2010 bersama K.Rajagobal, Malaysia sudah dua kali tampil dikecewakan di pentas final – iaitu kepada Thailand pada edisi 2014 dan Vietnam pada edisi 2018.
“Layak ke Piala Asia masih menjadi keutamaan kami,” ungkap Cheng Hoe mengenai keutamaan skuad negara pada ketika ini selain mendakap kejuaraan Piala AFF.
KREDIT FEATURED IMAGE: Lagardere / AFF