Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menghamburkan pujian kepada anak buahnya selepas mempamerkan kebangkitan di separuh masa kedua sehingga mencatat kemenangan ke atas Kemboja 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa semalam.
Lebih menarik, ia adalah kemenangan pertama skuad Harimau Malaya di gelanggang lawan sejak menewaskan New Caledonia, 2-1 pada 22 Jun 2016.
Kemboja yang dibimbing oleh bintang berpengalaman Jepun, Keisuke Honda terlebih dahulu mengejutkan barisan pertahanan negara apabila Soeuy Visal melepaskan satu sepakan voli deras dari dalam kotak penalti sehingga menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Sorakan padu 40 000 penyokong Tuan Rumah ternyata tidak berjaya melunturkan semangat pemain untuk mencari gol penyamaan.
“Selepas kita melepaskan gol awal, pemain bangkit memberi persembahan lebih baik. Pemain mempamerkan sikap tak mengalah dan saya harap pemain akan mengekalkan prestasi apabila beraksi di tempat lawan.
“Banyak aspek positif pemain dalam perlawanan malam ini dan saya harap mereka akan lebih bersedia apabila Piala AFF bermula nanti,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Walaubagaimanapun, Cheng Hoe mengakui kemenangan itu bukan mudah kerana Kemboja mempamerkan peningkatan dari segi corak permainan sejak dibimbing oleh Keisuke Honda.
“Pemain kita cukup bersemangat untuk menyerap tekanan dengan Keisuke Honda di tepi padang. Dengan jurulatih baru, ia bukan mudah buat pemain Kemboja tapi saya percaya bukan mudah untuk kita mengatasi mereka pada Piala AFF nanti,” jelas Cheng Hoe.
Shahrel Fikri antara pemain yang mencuri tumpuan apabila berjaya memanfaatkan pengalamannya ketika bermain di Liga Thailand dengan menyumbangkan 2 assist dan 1 jaringan gol di minit akhir perlawanan.
Selepas ini, skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Sri Lanka di Colombo pada 8 Oktober depan dan kemudian Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat Melaka (12 Oktober), Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 November) sebelum mengharungi kejohanan Piala AFF.