Quantcast

BERITA

Piala AFF: Ia Satu Perjalanan Yang Menakjubkan, Reflek Tan Cheng Hoe

Walaupun tewas 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018, ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe tetap menganggap ia sebagai satu perjalanan yang menakjubkan.

Malaysia tewas 2-3 secara agregat dan gagal untuk mengulangi kejayaan pada edisi 2010. Juara 2008, Vietnam turut sama memburu gelaran kedua kejohanan dwi-tahunan tersebut.

Akhirnya, Vietnam yang berjaya dalam pemburuan tersebut dan telah menamatkan penantian selama 10 tahun untuk mereka kembali menjulang trofi kejuaraan Asia Tenggara itu.

Berada di ranking ke-100 dunia dan merupakan yang terbaik di kalangan rakan-rakan di Asia Tenggara, kemenangan skuad Naga Emas di dalam kejohanan rantau ini adalah sangat wajar.

Vietnam

Cheng Hoe menyatakan yang dia sangat berpuas hati dengan komitmen dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh para pemainnya sepanjang kejohanan ini berlangsung.

“Kita tewas hari ini kerana kesilapan individu yang membolehkan Vietnam menjaringkan gol. Walaubagaimanapun, saya gembira dengan prestasi pasukan sepanjang kejohanan,” ujarnya.

“Ini merupakan satu perjalanan yang menakjubkan untuk pasukan kami yang tiada sebarang harapan diberikan pada awalnya,” tambah Cheng Hoe lagi dipetik berkata kepada New Straits Times.

Ada benar kenyataan yang dikeluarkan oleh jurulatih berusia 50 tahun itu. Pada awalnya, tiada harapan diberikan kepada skuad kendaliannya, apatah lagi untuk melangkah ke pentas final.

My Dinh

Foto AFF

Ramai yang sepakat menjangkakan perjalanan skuad ini akan berakhir di peringkat separuh akhir. Malah, ada juga sebilangan kecil yang sinis skuad ini bakal tersingkir di peringkat kumpulan.

Walaupun gagal mengakhiri ceritera menakjubkan ini dengan kejuaraan, kejayaan melangkah ke pentas akhir dengan gaya permainan yang sangat baik juga adalah satu petanda positif.

“Hari ini, para pemain telah berikan yang terbaik namun masih belum cukup untuk memenangi kejohanan ini,” ujarnya lagi sebagai penutup bicara mengenai prestasi pasukannya.

Cheng Hoe mula mengambil alih sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya pada penghujung tahun lalu dan dalam masa setahun, nampaknya Malaysia tampil dengan perubahan drastik.

Tiada lagi clueless longball dan kerap hilang penguasaan bola, anak didik Cheng Hoe tampil dengan penguasaan setiap perlawanan kecuali ketika saingan separuh akhir kedua di Bangkok.