Baru-baru ini pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah mengumumkan senarai pemain yang dipanggil untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan minggu hadapan.
Namun begitu, barisan pemain yang dipilih oleh beliau telah dikritik hebat oleh para peminat bola sepak tempatan yang mempersoalkan ketiadaan pemain berdarah campuran dan pemain naturalisasi.
“Tidak semestinya pemain itu memiliki fizikal besar dan tinggi akan terpilih kerana kadang-kala ia tidak sesuai dengan cara kita bermain.
“Saya lebih gemar memilih pemain yang mempunyai taktikal dan kemahiran baik seperti pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23). Tapi kalau pemain itu mempunyai kedua-duanya itu satu bonus buat pasukan.
“Namun ingin saya tekankan, pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa mereka bersama kelab dan negeri. Jika mempamerkan aksi terbaik, saya akan senaraikan mereka dalam aksi persahabatan Oktober nanti,” katanya kepada Berita Harian.
Skuad negara akan diuji dalam dua aksi persahabatan antarabangsa berkelas ‘A’ bertemu Taiwan di Taipei City, 7 September ini serta menentang Kemboja di Phnom Penh, tiga hari kemudian.
Antara pemain berdarah kacukan yang tidak terpilih kali ini ialah Matthew Davies, Brendan Gan, Khair Jones, Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong, Kiko Insa, Junior Eldstal dan Darren Lok.
Malah, nama Curran Ferns yang kini bermain di Liga Thailand bersama Shukothai FC turut tidak terpilih bersama pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.
Selain berdepan Taiwan dan Kemboja, skuad negara juga akan mengharungi tiga aksi persahabatan berdepan Sri Lanka, Kyrgyzstan dan Maldives pada Oktober dan November nanti.
Selain itu, Tan Cheng Hoe menjelaskan gaya permainan mudah ala ‘tiki-taka’ akan dipraktikkan seperti mana ketika beliau membimbing Kedah sebelum ini.
“Ia itu cara kita bermain. Saya percaya dengan kelompok pemain yang dipanggil, mereka mampu mengadaptasi kaedah permainan yang kita mahu,” katanya