Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui yang beliau kecewa dengan keputusan yang diperoleh pasukannya dalam aksi separuh akhir Piala FA semalam.
Semalam, Selangor dimalukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi musim ini dengan mereka dibelasah JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
Jaringan hatrik daripada Arif Aiman serta gol tunggal Fernando Forestieri memberikan kemenangan 4-0 JDT ke atas Selangor.
Ini merupakan kemenangan 4-0 kedua yang diraih oleh JDT menentang Selangor selepas melakukannya di Petaling Jaya pada aksi pusingan pertama Liga Super.
Bercakap selepas perlawanan, Cheng Hoe mengakui kecewa dengan keputusan itu kerana jumlah bolos yang besar.
“Ya, sebagai jurulatih, kerana jaringan empat gol, mana-mana jurulatih pasti akan kecewalah.
“Tapi kalau kita lihat secara keseluruhannya, kita bermain dengan baik cuma ada sedikit kesilapan dan kita perlu bekerja keras untuk pastikan kita mampu untuk berada pada satu tahap yang boleh bersaing dengan JDT nanti,” kata Cheng Hoe kepada wartawan selepas perlawanan.
Cheng Hoe juga mengakui perancangannya sedikit terganggu selepas kecederaan yang dialami oleh Fazly Mazlan dan Yazan al-Arab pada separuh masa pertama.
Walaupun pada hemat Cheng Hoe yang Selangor beraksi baik di bahagian serangan, tetapi kesilapan pertahanan nyata menafikan segala kerja keras bahagian atas sekali gus membawa Gergasi Merah ke lembah kekalahan.
JDT akan bertemu KL City dalam penentuan juara piala utama yang pertama dalam saingan domestik musim ini.