Tan Cheng Hoe Mahu Pemain Kawal Nafsu Makan Pada Hari Raya

Undian kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 berlangsung di AFC Club House semalam menyaksikan skuad Harimau Malaya bakal membuat penghitungan dengan pasukan yang berada di ranking FIFA 195 dunia iaitu Timor Leste.

Menurut jadual rasmi perlawanan yang dikeluarkan, skuad Harimau Malaya akan beraksi menentang Timor Leste pada 6 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil, kemudian bertandang ke gelanggang lawan (kemungkinan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras) pada 11 Jun bagi memburu slot ke pusingan kedua.

Namun begitu, pemain yang terpilih mewakili negara nanti terpaksa mengorbankan cuti mereka bersama keluarga kerana tarikh perlawanan pusingan pertama bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kedua.

FOTO: FAM

Umat Islam di negara ini dijangka menyambut hari raya pertama pada 5 Jun 2019, iaitu sehari sebelum skuad kebangsaan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui bimbang jika terdapat pemain yang  ‘lupa daratan’ dengan mengambil ketupat, rendang atau apa sahaja juadah hari raya secara berlebihan sehingga boleh menjejaskan tahap kecergasan mereka.

“Perlawanan itu tidak mudah, apatah lagi dalam suasana Ra­madan dan Hari Raya yang mana sudah menjadi kemestian buat setiap pemain yang beragama Islam menyambutnya bersama keluarga.

“Perkara seperti ini saya khuatiri akan mengganggu fokus pemain dan saya perlu berbincang dahulu sama ada mahu beri pelepasan kepada mereka atau tidak untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga.

“Jika tidak, pemain perlu me­ngorbankan masa bersama keluar­ga,” katanya dalam Utusan Malaysia

Undian pusingan 1 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berlangsung semalam. FOTO: FAM

Cheng Hoe juga berharap para penyokong dapat memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya meskipun sedar mereka mungkin tidak dapat hadir ke stadium pada hari perayaan.

“Kalau penyokong dapat datang itu bagus tetapi jika sebaliknya, saya tidak boleh kata apa kerana waktu itu kita masih dalam n suasana pe­rayaan.” ujarnya lagi.

Status Timor Leste jadi tanda tanya

Sementara itu, setiausaha agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Paul Windsor berkata pihaknya akan meneliti status pasukan Timor Lester memandangkan negara tersebut tidak dibenarkan terlibat dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 sebagai hukuman berikutan isu kegagalan sembilan pemain naturalisasi mereka mengemukakan dokumen sah ketika kelayakan Piala Asia 2015.

“Jawatankuasa AFC menetapkan Timor Leste tidak dibenarkan untuk bertanding dalam Piala Asia 2023. AFC akan meneliti dan melihat sama ada keputusan perlawanan membabitkan Malaysia boleh beri kesan,” katanya dalam Stadium Astro

Tegas Windsor, situasi itu menjadi rumit ekoran keputusan aksi play-off kelayakan Piala Dunia 2022 dan kelayakan Piala Asia 2023 saling berkait di antara satu sama lain.

“Tentang bagaimana kami menangani format pertandingan ini memandangkan kelayakan play-off Piala Dunia dan kelayakan Piala Asia 2023 menyebabkan Timor Leste digantung,” tambahnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN