Quantcast

BERITA

Tan Cheng Hoe Mahu Pemain Fokus Lawan Garuda

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan menentang Indonesia pada  5 September hadapan sebagai perlawanan yang amat penting.

Ini kerana dalam mana-mana kejohanan, kemenangan dan persembahan positif di perlawanan pertama sangat penting untuk meningkatkan motivasi pemain.

FOTO: FAM

Mengakui cabaran pasti berbeza kerana beraksi di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Cheng Hoe mahu pemain-pemain beliau kekal fokus.

Bercakap kepada BERNAMA, ketua jurulatih berusia 51 tahun itu dipetik sebagai berkata:

“Kita tidak boleh terlalu beremosi ketika beraksi menentang Indonesia sehingga menyebabkan kita hilang fokus. Kalau kita lihat pada sejarah pertembungan Malaysia dan Indonesia, memang kedua pasukan ini seimbang, masing-masing tiada kelebihan.

Foto: FAM

“Tetapi kali ini kita nampak persiapan Indonesia lebih serius, dengan penambahan pemain naturalisasi, jadi kita tak boleh nilai berdasarkan tempo mereka pada Piala AFF sebelum ini kerana mereka lebih mantap sekarang.

“Saya juga sangat gembira dengan prestasi pasukan kita sekarang, kerana kita telah menunjukkan peningkatan dalam semua perlawanan.

“Aksi menentang Jordan sebagai satu penanda aras untuk pasukan kebangsaan sama ada kita boleh bersaing atau tidak, tapi saya sangat positif mengenai perlawanan itu,” katanya.

Mengenai isu keselamatan di gelanggang lawan Cheng Hoe mengesahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghantar wakil untuk berbincang dengan pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengenai langkah-langkah yang akan diambil.

Dalam perkembangan berkaitan, Cheng Hoe turut mengesahan Mohamadou Sumareh hanya menjalani latihan ringan akibat kecederaan pangkal paha sejak dua minggu lalu. Situasi pemain itu akan terus dipantau buat masa ini.