Malam ini skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Taiwan untuk aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Perbandaran Taipei, Taipei Citi.
Ia bukan saja menjadi medan persiapan untuk Piala AFF Suzuki hujung tahun ini, malah pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe turut mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bercakap kepada Berita Harian, Cheng Hoe mengakui bukan tugas mudah kerana Taiwan yang berada di ranking 125 dunia itu pasti akan memberikan tentangan sengit di halaman sendiri.
“Kami tahu Taiwan pasukan mantap dan satu negara memiliki budaya bola sepak. Jadi tuan rumah juga bakal mendapat sokongan penyokong mereka yang akan memenuhi ruang stadium.
“Taiwan mempunyai pemain yang bagus dalam skuad kebangsaan mereka selain ditambah dengan pemain naturalisasi.
“Apapun kami akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan (untuk memperbaiki ranking Harimau Malaya),” katanya dalam sidang media.
Selepas kehilangan tonggak Pahang, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa menarik diri kerana urusan keluarga, Cheng Hoe dijangka akan mempertaruhkan penyerang berpengalaman, Zaquan Adha Abd Radzak, Shahrel Fikri Fauzi dan pemain muda, Kogileswaran Raj di bahagian serangan.
Skuad itu juga turut diperkuatkan oleh bintang muda yang semakin meningkat, Akhyar Rashid dan pemain sayap berpengalaman Kedah, Syazwan Zainon.
Selepas berdepan Taiwan, anak buah Cheng Hoe akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan antarabangsa berdepan Kemboja di Phnom Penh, Isnin ini
Harimau Malaya juga bakal mengharungi tiga lagi aksi persahabatan berdepan Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada 12 dan 16 Oktober depan sebelum menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.