Kejayaan menamatkan kemarau panjang tanpa kemenangan apabila membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin ternyata memberikan semangat tambahan kepada skuad Harimau Malaya untuk memburu lebih banyak kemenangan selepas ini.
Ia adalah kemenangan pertama skuad Harimau Malaya yang dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir sejak penghujung tahun 2016.
Namun begitu, mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Tan Cheng Hoe berkata kepada Sinar Harian tidak hanya meletakkan sasaran mahu bertemu lawan yang berada di ranking lebih rendah daripada skuad kebangsaan.
Sebaliknya, beliau tetap mengimpikan supaya skuad kendaliannya dapat bertemu dengan pasukan yang lebih kuat dalam aksi persahabatan seterusnya.
“Pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melihat pasukan mana yang boleh bersaing dan disamping itu kita perlu juga bertemu lawan yang lebih kuat daripada kita.
“Selepas ini, mungkin pada Julai nanti kita akan adakan satu lagi perlawanan persahabatan untuk skuad Harimau Malaya,” katanya.
Mengulas kemenangan besar 7-0 ke atas Bhutan kelmarin, Cheng Hoe menghamburkan pujian kepada anak buahnya dan pada masa yang sama tidak mahu pemainnya terbuai dengan kemenangan besar itu.
“Inilah Harimau Malaya yang sebenarnya. Pujian perlu diberikan kepada pemain-pemain yang telah menunjukkan mereka memang dahagakan kemenangan dan telah berjuang habis-habisan untuk menamatkan badi tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan.
“Saya berharap setiap kali kita beraksi di masa akan datang, kita perlu terus menunjukkan bahawa kita ada mentaliti mahukan kemenangan dalam setiap perlawnaan yang disertai,” katanya lagi.
Bhutan yang berada di kedudukan ke-188 ranking dunia dan dibarisi sepenuhnya pemain separuh profesional jelas bukan lawan buat skuad Harimau Malaya apabila bolos lima gol pada babak pertama.
Bermula dengan jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-11, benteng skuad kendalian Trevor Morgan itu terus dihukum dengan jaringan kapten pasukan, Zaquan adha dan Irfan Zakaria pada minit ke-19 dan 27.
Tidak cukup dengan itu, Zaquan terus menambah derita skuad Dragon Boys apabila menambah tiga lagi gol pada minit ke-36, 40, dan 54 untuk Malaysia selesa mendahului 6-0.
Penjaring gol tunggal Malaysia ketika berdepan Lubnan, Syafiq Ahmad yang masuk sebagai pemain gantian menambah gol ketujuh Harimau Malaya pada minit ke-74 dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.